PBAPP sediakan lori tangki air bantu pengguna terjejas

whatsapp image 2024 01 02 at 13.49.22

BUKIT TENGAH – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menyediakan 10 unit lori tangki air Jumbo bagi membantu pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari mulai 10 Januari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa 10 unit tangki Jumbo berkapasiti 20,000 hingga 30,000 liter air itu akan diletakkan di lokasi-lokasi awam yang ditetapkan oleh PBAPP.

“Lori-lori tangki Jumbo ini akan diisi dengan air yang akan diambil dari loji rawatan air (LRA) yang masih berfungsi di Balik Pulau dan Bukit Toh Alang, Bukit Mertajam.

whatsapp image 2024 01 02 at 13.49.24
Persatuan Bomba Sukarela Juru sedang mempersiapkan tangki air yang akan dibekalkan kepada pengguna yang terjejas.

whatsapp image 2024 01 02 at 13.49.20 whatsapp image 2024 01 02 at 13.49.23

“Oleh itu, lori-lori tangki milik Persatuan Bomba Sukarela (PBS) boleh mengambil bekalan air dari lori tangki air Jumbo ini untuk diedarkan kepada pengguna di kawasan-kawasan terlibat.

“Langkah ini akan dapat memendekkan masa perjalanan dari loji rawatan ke tempat penyediaan bekalan air untuk diedarkan kepada pengguna,” katanya pada sidang media dekat Pejabat Persatuan Bomba Sukarela Juru, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Law Keng Ee; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Teh Chuann Yien; Pengarah Pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way serta wakil Persatuan Bomba Sukarela Juru.

Kon Yeow berkata, PBAPP turut akan membekalkan lapan unit tangki untuk membekalkan air di hospital-hospital dan pusat dialisis di negeri ini.

“Di samping itu, PBAPP juga menggunakan 15 unit tangki air flexi berkapasiti 10,000 liter untuk kegunaan awam.

“MBSP turut menyediakan tujuh unit tangki air bagi membantu pengguna terjejas di kawasan Seberang Perai.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga akan sediakan tangki air yang akan dibekalkan mengikut jadual,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kon Yeow berkata, sebanyak 34 pasukan PBS dari lima daerah di negeri ini dan satu unit PBS dari Parit Buntar akan membantu menyalurkan bantuan bekalan air menggunakan 35 unit lori tangki.

“Namun begitu, kita berharap air yang disimpan oleh penduduk cukup untuk kegunaan sekurang-kurangnya pada 10 Januari,” katanya sambil menasihati pengguna agar menyimpan air secukupnya untuk tempoh empat hari.

Sementara itu, khusus bagi kawasan Parlimen Batu Kawan pula, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya akan menyediakan 57 unit tangki poli berkapasiti 500 gelen bernilai RM24,772.20 kepada Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai, Bukit Tambun dan Bukit Tengah.

“Bagi KADUN Bukit Tengah, sebanyak sembilan ‘poly tank’ 500 gallon akan dihantar ke pangsapuri, flat kos rendah dan kos sederhana melalui badan pengurusan flat masing-masing.

“Pada masa sama, pasukan PBS Juru sedia memberi komitmen bersama untuk mengisi air ke dalam tong-tong air besar yang disediakan dari semasa ke semasa.

“Selain Bukit Tengah, sebanyak 28 ‘poly tank’ 500 gallon akan dibekalkan kepada KADUN Bukit Tambun dan 28 unit lagi untuk KADUN Perai (20 unit),” ujarnya sambil menambah bahawa pihaknya turut akan membekalkan 500 karton air minuman untuk diedarkan kepada umum.

Dalam pada itu, Hsiao-Leung memberitahu bahawa sebanyak 11 tong plastik besar akan disediakan untuk diagihkan kepada kawasan-kawasan perumahan di Bukit Tengah yang akan diserahkan kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.

“Bukan setakat itu, pasukan PBS Juru akan mengadakan rondaan pada setiap hari untuk mengisi air di tangki-tangki yang disediakan,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD