PBAPP terima dua anugerah air peringkat kebangsaan, umum Jaseni

PENANTI – Agensi negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperoleh dua anugerah peringkat kebangsaan daripada Persatuan Air Malaysia (MWA).

Pertama, Anugerah Pencapaian Industri Air MWA 2018 “Loji Rawatan Terbaik” bagi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, dan satu lagi adalah Anugerah Air untuk Pengurusan 2018.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dr. Xavier Jayakumar yang menyerahkan kedua-dua anugerah itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa di Putrajaya pada 7 September 2018.

Mengulas lanjut, Jaseni dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, anugerah yang disampaikan Xavier itu adalah keistimewaan yang jarang diperoleh serta menjadi inspirasi buat kakitangan PBAPP untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan di negeri ini.

“Sebagai penerima individu, saya ingin mendedikasikan Anugerah Air Malaysia untuk Pengurusan 2018 kepada seluruh pasukan PBAPP yang telah bekerja keras dan secara bijak untuk menjadikan PBAPP sebuah organisasi terkemuka dalam bekalan air.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi dan Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd. dan PBAPP untuk segala bimbingan mereka,” ujarnya pada sidang media di sini pada 8 September 2018.

Sebelum itu, Jaseni mengiringi Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin, Teh Lai Heng (ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) dan beberapa lagi pemimpin utama Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang melawat Empangan Mengkuang di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD