PBAPP terima pengiktirafan tempat kerja bebas dadah

Admin
img 20251208 wa0033

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melakar pencapaian membanggakan apabila menerima Sijil Pengiktirafan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBAHB, Dato’ Ir. K. Pathmanathan sambil disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ketika berucap, Kon Yeow yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti terhadap kesungguhan barisan kepimpinan agensi air negeri itu dalam memelihara kebajikan pekerja dan menjunjung nilai integriti dalam operasi harian.

Beliau berkata, lebih membanggakan lagi apabila PBAPP berjaya mencipta sejarah sebagai operator air pertama dalam negara yang menerima pengiktirafan tempat kerja bebas dadah.

“Malah, pengiktirafan ini turut menjadikan BPAPP sebagai syarikat berkait Kerajaan Negeri sulung di Pulau Pinang yang mematuhi sepenuhnya piawaian TEKAD.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga PBAPP, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh negeri Pulau Pinang khasnya, dan negara amnya,” katanya pada majlis berkaitan.

img 20251208 wa0051img 20251208 wa0036img 20251208 wa0039

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Holding Berhad (PBAHB), Dato’ Brian Tan Guan Hooi; Ahli Lembaga Pengarah PBAHB, Fadzil Abdullah; Ketua Divisen Sumber Manusia PBAPP, Dato’ Mohammad Zulkifli Abdul Hamid; Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Pulau Pinang, Roswati Apin dan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kampung Selamat, Tuan Wan Hilmi Wan Abdul Rahman.

Kon Yeow menyatakan bahawa penyertaan PBAPP dalam Program TEKAD bukan sekadar prosedur pematuhan undang-undang, sebaliknya merupakan satu pelaburan penting untuk masa depan organisasi.

Menurut beliau, sesebuah organisasi itu hanya mampu melangkah jauh apabila pekerjanya berada dalam keadaan terbaik serta bebas daripada pengaruh dadah.

“Apabila pekerja bebas daripada pengaruh dadah, mereka mampu bekerja dengan lebih fokus, mengurangkan risiko kemalangan, meningkatkan produktiviti, memelihara imej organisasi serta menjadi aset yang bernilai kepada negeri dan negara.

“Justeru, kemajuan ekonomi juga secara tidak langsung bergantung kepada kekuatan emosi, fizikal serta integriti warga kerja,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut memuji inisiatif PBAPP yang telah mengadakan kerjasama dengan pihak AADK bagi program sokongan untuk klien di Puspen Kampung Selamat pada Ogos 2025.

“Ini merupakan satu langkah yang amat baik kerana mampu mendekatkan masyarakat dengan klien-klien Puspen, seterusnya membantu mereka kembali ke jalan pemulihan, dan pastinya memberi sinar baharu kepada mereka yang ingin berubah.

“Kita sering menyebut bahawa setiap insan berhak diberikan peluang kedua, dan hari ini, PBAPP membuktikan bahawa kata-kata itu bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang nyata,” ulasnya.

Pada masa sama, Kon Yeow turut menyeru agar lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Pulau Pinang, syarikat swasta serta sektor industri agar menjadikan Program TEKAD sebagai satu piawaian operasi, dan bukan sekadar satu program sampingan.

“Jika PBAPP, sebuah organisasi besar dengan lebih 1,500 pekerja mampu melaksanakan program ini dengan jayanya, saya yakin banyak organisasi lain juga mampu mencontohi kejayaan ini.

“Kita ingin melihat Pulau Pinang bukan sahaja sebagai sebuah negeri yang maju, tetapi juga negeri yang rakyatnya sihat, produktif dan bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Sementara itu, Pathmanathan dalam ucapannya sebelum itu menjelaskan bahawa pengiktirafan yang diterima PBAPP itu adalah atas komitmen syarikat itu melaksanakan pelbagai inisiatif serta langkah-langkah pencegahan yang diperlukan.

“Antaranya adalah penubuhan polisi serta Jawatankuasa Pencegahan Dadah di tempat kerja yang dianggotai oleh pihak pengurusan dan wakil pekerja dan latihan khusus untuk penyelia yang telah dilaksanakan pada bulan Mei 2025.

“Selain itu, PBAPP juga melaksanakan program pendidikan dan kesedaran untuk semua pekerja selain pelaksanaan tiga kali ujian saringan urin ke atas kakitangan di beberapa premis (PBAPP) yang mana kesemuanya menunjukkan keputusan Negatif.

“Kami juga menyediakan sudut antidadah di premis kerja, di samping mengadakan program bersama dengan komuniti, AADK serta Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kampung Selamat untuk TEKAD,” jelasnya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING