PBBPP raikan 67 anak yatim berbuka puasa, nikmati pemandangan Bukit Bendera

Admin

AIR PUTIH – Seramai 67 anak yatim dari Wisma Anak Yatim Air Itam Pulau Pinang diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dekat sini, tadi.

 

 

Hadir sama meraikan majlis berkaitan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

 

 

JOSEPH Ng Soon Siang (tiga dari kanan) dan Cheok Lay Leng (kanan sekali) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan.

Ketika menyampaikan ucapan, Soon Siang berharap agar lebih banyak pihak swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) tampil bersama-sama untuk menganjurkan program-program CSR seumpama ini bagi meraikan anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik.

 

 

Beliau turut memuji usaha murni PBBPP yang saban tahun meraikan anak-anak yatim daripada wisma berkaitan.

 

 

Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Cheok Lay Leng ketika ditemui memberitahu bahawa penganjuran majlis tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) perbadanan itu.

 

 

Turut berucap, wakil yang juga pengiring Wisma Anak Yatim Air Itam Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Ismail, menzahirkan penghargaan kepada PBBPP dan Soon Siang kerana menjemput anak-anak yatim dari Wisma Anak Yatim Air Itam untuk berbuka puasa.

ANTARA juadah yang turut disajikan.

Dalam majlis sama, kesemua anak-anak yatim turut menerima ‘duit raya’ yang disampaikan oleh Soon Siang dan Lay Leng.

Sebelum itu, kesemua mereka dibawa menaiki furnikular dan berjalan-jalan menikmati pemandangan di sekitar kawasan peranginan bukit terkemuka di Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN