PBIM, PIDBR terus diperkukuh sebagai acara sukan bertaraf antarabangsa

Admin
img 20261104 wa0042

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh kedudukan Penang Bridge International Marathon (PBIM) dan Penang International Dragon Boat Regatta (PIDBR) sebagai acara sukan antarabangsa serta produk pelancongan sukan utama Pulau Pinang menerusi penambahbaikan penganjuran dan peluasan penyertaan antarabangsa.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pelbagai usaha dilaksanakan sejak tiga tahun kebelakangan ini bagi meningkatkan profil kedua-dua acara berkenaan, sekali gus menjadikan Pulau Pinang lebih berdaya saing sebagai destinasi pelancongan sukan.

Menurut beliau, PBIM terus diperkasakan menerusi pemilihan Aspen Vision City, Batu Kawan sebagai lokasi mula dan tamat perlumbaan dengan laluan merentasi Jambatan Kedua Pulau Pinang, sekali gus menawarkan pengalaman larian yang unik kepada peserta.

“PBIM turut meningkatkan pengiktirafan antarabangsanya menerusi pensijilan Association of International Marathons and Distance Races (AIMS) serta pengiktirafan di bawah kerangka Abbott World Marathon Majors mulai tahun 2026.

“Selain itu, PBIM sedang berusaha mendapatkan status World Athletics Label Road Race menerusi kerjasama dengan Malaysia Athletics dan Penang Amateur Athletic Association (PAAA) bagi meningkatkan standard teknikal serta pengurusan perlumbaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.

Mengulas penganjuran PIDBR pula, Hon Wai berkata, lokasi acara berkenaan dipindahkan dari Empangan Teluk Bahang ke Straits Quay Retail Marina pada 2024 dan dikekalkan sehingga kini berikutan persekitaran marina tepi laut serta kemudahan komersial di kawasan sekitarnya.

Jelasnya, pemilihan lokasi itu turut menyediakan ruang lebih sesuai kepada peserta dan penonton untuk menyaksikan perlumbaan serta menikmati pelbagai aktiviti sampingan, sekali gus mewujudkan suasana penganjuran yang lebih meriah.

“Bagi tahun 2026, keputusan dibuat untuk mengekalkan Straits Quay Retail Marina sebagai lokasi penganjuran PIDBR bagi membolehkan penambahbaikan berterusan dari segi operasi, kemudahan, pengurusan orang ramai serta pengalaman peserta dan penonton,” ujarnya.

Dari segi penyertaan, Hon Wai berkata, PBIM 2026 merekodkan lebih 25,000 pendaftaran, manakala PIDBR 2026 bakal menyaksikan penyertaan 68 pasukan, termasuk 22 pasukan dari Malaysia dan selebihnya dari China, Hong Kong SAR, Singapura, Chinese Taipei, Australia, Kanada, Filipina, Brunei, Jepun, Liechtenstein, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, sambutan menggalakkan terhadap PIDBR 2026 menyebabkan pendaftaran terpaksa ditutup lebih awal susulan jumlah penyertaan yang tinggi.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong itu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut berhasrat memperluas pembangunan sukan perahu naga melangkaui penganjuran acara tahunan menerusi sokongan kepada kelab tempatan, pembangunan bakat muda serta kerjasama dengan rakan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tambah Hon Wai, kerjasama strategik dengan sektor perhotelan, pengangkutan, rakan perjalanan, penaja dan pemain industri pelancongan juga terus digalakkan bagi meningkatkan pengalaman peserta, khususnya mereka yang datang dari luar negeri dan luar negara.

“Penganjuran kedua-dua acara berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan sukan, malah berpotensi merancakkan sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta peruncitan menerusi kehadiran atlet, ahli keluarga, penyokong dan penonton.

“Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan mutu PBIM dan PIDBR melalui pengiktirafan antarabangsa, pemilihan lokasi strategik, penambahbaikan berterusan, kerjasama strategik serta promosi berkesan.

“Usaha ini penting bagi meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan sukan serta memperkukuh imej negeri di persada antarabangsa,” jelasnya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS