PBS Berapit kini dilengkapi jentera bomba baharu, Ketua Menteri sumbang RM30,000

Admin
KETUA Menteri (depan, tengah) dengan diiringi Heng Lee Lee (depan, kanan) dan wakil PBS Berapit Bukit Mertajam melihat jentera bomba bertangki baharu berkapasiti 900 liter selepas berlangsungnya acara berkaitan di sini tadi.

BERAPIT – Persatuan Bomba dan Sukarela (PBS) Berapit Bukit Mertajam kini memiliki seunit jentera bomba bertangki baharu dengan kapasiti 900 liter (l) yang diimport dari negara Jepun.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 di samping sumbangan tambahan daripada beberapa pihak lain termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong sehingga membolehkan pasukan itu membeli jentera baharu sekian berharga RM75,000.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Phee Boon Poh (empat dari kiri), Heng Lee Lee (kiri sekali) dan Saadon Moktar (kanan sekali) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil PBS Berapit Bukit Mertajam di sini tadi.

“Kerajaan Negeri sedia maklum dengan kekangan yang dihadapi oleh pasukan selama ini yang asalnya hanya memiliki satu unit jentera bertangki dengan kapasiti 1,200 liter dan berkhidmat melebihi 20 tahun.

“(Sehubungan itu,) saya berharap dengan penggunaan jentera yang baharu ini, ia dapat terus mempertingkatkan prestasi serta keupayaan keselamatan pasukan, sekali gus memudahkan tugasan ketika operasi kecemasan,” jelasnya di perkarangan balai persatuan berkenaan dekat Taman Pearl pada 10 April 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa pentadbirannya senantiasa menghargai sumbangan pasukan bomba kepada masyarakat.

“Dengan adanya pasukan bomba sukarela dalam komuniti, mereka akan mengambil tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

“Kerajaan Negeri amat menghargai segala usaha dan keringat yang telah diberikan oleh semua pasukan sukarelawan daripada pelbagai bidang yang sungguh bersemangat dan sanggup mengambil risiko demi berkhidmat kepada masyarakat serta negeri,” ujarnya di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menyatakan bahawa PBS tertentu di negeri ini yang masih belum mendapat
permohonan pendudukan sementara (TOL) bagi status tanah untuk pengoperasian persatuan mereka diseru supaya segera berbuat demikian untuk proses pertimbangan Kerajaan Negeri hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan yang dibangkitkan oleh ADUN Berapit, Heng Lee Lee sebelum pada itu.

Menurut Lee Lee, PBS Berapit yang beroperasi lebih dua dekad sehingga kini masih belum mendapat TOL, sehingga menyukarkan mereka memperoleh kebenaran memasang sistem perpaipan air di balai persatuan mereka.

Tambah Kon Yeow, pihaknya turut meminta agensi negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memudahkan proses pemasangan sistem perpaipan air di balai PBS Berapit Bukit Mertajam berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberitahu bahawa Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini memutuskan untuk melarang import khinzir dari luar negeri Pulau Pinang.

Menurut beliau, langkah cegah rintang itu adalah demi mengelak risiko penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di ladang ternak khinzir sedia ada di Pulau Pinang.

Turut berucap, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar; Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kawasan Bukit Mertajam, Dato’ Lee See Nee dan wakil Pengerusi PBS Berapit, Tan Soo How.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Bernard Cheen Goon Hooi yang mewakili Steven Sim.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS