PBS, MPKK siap sedia bantu hadapi gangguan bekalan air

Admin
2bb3f923 8bdd 4dbf 8f80 1fe8addc1b8a

PULAU Pinang bakal mengalami gangguan bekalan air terawat secara berjadual bermula esok sehingga 14 Januari 2024 ini.

Difahamkan, sepanjang tempoh berkenaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu melaksanakan kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang bocor di samping kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan di 22 lokasi lain seluruh negeri.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR cuba mendapatkan maklum balas lanjut daripada Persatuan Bomba Sukarela (PBS) serta beberapa responden berhubung persiapan pada peringkat lapangan bagi mendepani gangguan bekalan air.

img 1089
CHAN Kim Keat menunjukkan jentera lori Jepun yang telah siap sedia.

Bagi Kapten PBS Sri Tanjung, CHAN KIM KEAT, persiapan telah dilakukan dan semua pasukan sedang bersiap siaga menunggu arahan dari PBAPP.

“Menerusi maklumat yang diterima, gangguan bekalan air mungkin bermula pada waktu petang, oleh itu pasukan saya bakal bersiap sedia seawal jam 9 pagi di kawasan Parlimen Tanjong ini.

“Pada malam ini juga pasukan saya akan menghantar air ke beberapa buah lokasi melibatkan dua jentera lori ‘Jepun’ yang membawa kapasiti air sebanyak 1,500 dan 5,000 liter padu.

“Kapasiti air yang dibawa sememangnya tidak mencukupi, akan tetapi pasukan saya akan berusaha sehabis baik untuk mengambil lagi air di Empangan AIr Itam kemudian PBAPP akan memberi lokasi yang lebih terperinci untuk penghantaran,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Kota.

15c602ed c593 4642 9ed0 e8139e6342bc
KETUA MENTERI semasa Majlis Pelancaran Lori Bomba Serbaguna Pasukan Bomba Sukarela Kuala Sungai Pinang baru-baru ini.

Bagi Pengerusi PBS Kuala Sungai Pinang, KIONG CHAN KYAM memaklumkan bahawa baru-baru ini Kerajaan Negeri komited menyalurkan sumbangan bantuan kepada PBS.

“Baru-baru ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut menyampaikan 12 tangki berkapasiti 500 gelen bagi kegunaan penduduk sekitar Balik Pulau.

“Tangki-tangki tersebut akan diuruskan oleh PBS bagi membantu menyalurkan bekalan air terawat di kawasan Balik Pulau,” tambahnya.

img 1102
MOHD. Sazali Salleh menunjukkan paip saliran yang telah dipasang.

Pengerusi Kariah Masjid Ridwaniah Sungai Batu, MOHD. SAZALI SALLEH turut berkongsi persediaan awaln yang mana terdapat tiga buah tangki telah disediakan untuk kegunaan jemaah masjid serta penduduk setempat.

“Saliran paip air bawah tanah sedalam 14.6 meter telah dihubungkan ke tiga buah tangki berkapasiti 2,000 liter padu.

“Selain itu, sistem simpanan air yang disediakan oleh pihak pengurusan masjid adalah sebanyak 15 tangki dan telah menelan kos sebanyak RM50,000,” ujarnya sambil berharap air tangki berkenaan boleh dimanfaatkan sebaiknya apabila berlakunya krisis air.

ab11e23a 8a6a 4c51 af36 4ecbe9fdaa0c
DARI kiri, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Prof. Dato’ Dr. Idris Salleh menunjukkan kejernihan ‘boring water’ dekat sini .

Menurut Pengerusi Kariah Masjid Maqbul Teluk Kumbar, PROF. DATUK DR. IDRIS SALLEH, turut berkongsi kerja-kerja pemasangan air dalam tanah (boring water) telah siap.

“Penduduk setempat boleh mengambil bekalan air di tangki ‘boring water’ yang kini telah dipasang di perkarangan Masjid Maqbul.

“Setelah selesai pemasangan, air dalam tangki kelihatan jernih dan air yang ditapis boleh diminum dan sebagainya,” jelasnya lanjut.

Oleh :NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR