PBSM Pulau Pinang sediakan perkhidmatan ambulans 24 jam sempena Aidilfitri

Admin
whatsapp image 2024 04 08 at 09.59.17

 

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, empat perkhidmatan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Pulau Pinang akan bertugas selama 24 jam bermula dari 7 April sehingga 13 April 2024.

EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian usai menyempurnakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ambulan 24 jam Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 7 April 2024 (semalam).

whatsapp image 2024 04 08 at 09.59.17 (1)
DANIEL Gooi Zi Sen.

Menurut Zi Sen, matlamat utama PBSM adalah untuk memberikan rawatan pra-hospital kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes perubatan dan trauma yang mungkin berlaku semasa hari perayaan.

“PBSM Pulau Pinang memiliki sebuah pusat operasi ambulans 24 jam di Batu Maung yang mana pusat ini juga memberikan respon terhadap panggilan kecemasan 999.

“Jika terjadinya sebarang kecemasan, talian 999 boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan dan ambulan yang terdekat akan tiba dengan kadar segera,” jelasnya.

Dalam majlis sama, Zi Sen turut mengingatkan kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas ketika musim perayaan.

“Orang ramai juga turut diingatkan bahawa hukuman di atas kesalahan trafik pada musim perayaan akan dikenakan kompaun maksimum.

“Jika pemandu merasa letih, sila berhenti di tempat perhentian ataupun kawasan rehat yang berdekatan yang disediakan oleh pihak PLUS (Malaysia Berhad),” katanya.

whatsapp image 2024 04 07 at 11.00.38 a67f25fc
DEMONSTRASI rawatan kecemasan dipertontonkan sempena majlis pelancaran berkaitan di sini.

Timbalan Pengerusi PBSM Pulau Pinang, Datuk Loh Nam Hooi; Naib Pengerusi II PBSM Pulau Pinang, Chow Thian Pow; Pengerusi PBSM Daerah Pulau, Daniel Lim Tat-Pin; Penolong Pengarah Perkhidmatan Ambulan dan Bantuan Kecemasan PBSM, Muthukumaran Paramathmah dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Trauma merangkap Ketua Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Seberang Jaya, Dr. Noor Azleen Ayob antara yang turut serta dalam majlis tersebut.

 

Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT