PBSS harap kurang kesesakan, minimum tahap pencemaran

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mengorak langkah ke arah sebuah negeri berbasikal pertama negara dengan pelaksanaan Sistem Perkongsian Basikal atau Penang Bike Share System (PBSS) di sekitar Tapak Warisan Dunia George Town pada 18 Disember lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis pelancarannya baru-baru ini berkata, projek tersebut menelan belanja RM1.85 juta yang mana ia merupakan perkongsian pintar dan berkesan di antara sektor awam dan swasta (Public Private Partnership, PPP) membabitkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan syarikat pembekal basikal, Fast Rent Bike (FRB).

“Sebenarnya, projek seumpama PBSS ini sudah lama dilancarkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis.

“Kini, kita (Kerajaan Negeri) melalui PPP memperkenalkannya di Pulau Pinang dengan harapan ia dapat mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya sekitar kawasan George Town, sekaligus membantu meminimumkan tahap pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada asap kenderaan.

“PBSS akan menjadi satu alternatif terbaru yang memudahkan pengguna khususnya pelancong untuk meneroka keindahan Tapak Warisan Dunia George Town,” ucapnya pada Majlis Pelancaran PBSS di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Guan Eng ditemani isteri, Betty Chew Gek Cheng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail; mantan Pengarah Kawalan Bangunan MBPP, Ar. Yew Tung Seang (kini Setiausaha Bandaraya MBPP), Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan 60 peserta lain menjayakan kayuhan santai dari Padang Kota Lama ke Pasar Raya Gama dengan menggunakan sistem LinkBike.

Menurut Guan Eng, buat tempoh permulaan, sejumlah 60 basikal disediakan di 25 stesen terpilih sekitar bandar raya George Town.

“Kita akan menambah bilangan basikal ini kepada 250 unit menjelang Februari 2017,” ujarnya.

Sebagai panduan, pengguna dikehendaki memuat turun aplikasi LinkBike menggunakan telefon pintar terlebih dahulu untuk pengesahan kod ketika membuat pinjaman basikal.

Kadar pas sewaan adalah RM2 (termasuk caj 6 peratus GST dan sah untuk 24 jam) bagi setiap sesi, iaitu 30 minit sesi percuma dan 30 minit berikutnya dikenakan caj RM1/jam.

Terdapat juga pas sewaan bagi tempoh 48 jam (RM3), 72 jam (RM4), 7 hari (RM10) dan 1 tahun (RM30).

Kesemua kadar bagi pas sewaan adalah termasuk cukai GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) 6 peratus dan RM1/jam bagi 30 minit berikutnya.

Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang LinkBike di https:// www.linkbike.my/ atau muat turun aplikasi mel