PBT main peranan penting realisasi kehendak rakyat

PANTAI JEREJAK – Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan yang cukup besar dalam merealisasikan visi dan misi organisasi masing-masing, maklum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut beliau, kerjasama secara sinergi dan sistematik juga perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi dalam keadaan normal baharu kini demi menjayakan peranan tersebut.

 

“Permintaan rakyat yang pelbagai, diburukkan lagi dengan masalah kos sara hidup yang semakin tinggi dan penularan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, sudah tentu membawa cabaran besar buat PBT.

 

 

“Meskipun permasalahan yang dihadapi ini adalah berbeza-beza, tetapi matlamat ke arah memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan (iaitu rakyat) tetap sama.

 

 

“Justeru, pendekatan serta kaedah pelaksanaannya perlu bersesuaian dan selari dengan tuntutan semasa ini,” ujar Kon Yeow pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20 Tahun 2021 Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) dekat SPICE Convention Center di sini petang tadi.

Hadir sama, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri  Ismail Abd. Muttalib; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Yew Tung Seang yang juga merangkap Presiden MALA serta Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif MALA.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Pulau Pinang juga tidak terkecuali menerima tempias dalam pasca pandemik COVID-19.

 

 

“Walau bagaimanapun, kita bersyukur bahawa kedua-dua PBT iaitu MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mempersiapkan diri dan sentiasa dalam mod pelaksanaan untuk memastikan momentum kita berada di atas landasan yang tepat.

 

 

“Di Pulau Pinang, antara perkhidmatan ditawarkan adalah seperti perkhidmatan e-dagang yang memberi manfaat kepada peniaga kecil, memperkenalkan platform Jom Beli Online (JBO@MBPP) untuk membantu promosi jualan termasuk jualan durian dari dusun, jualan online semasa bulan Ramadan serta memperkenalkan Permit Business From Home iaitu kaedah pemberian lesen perniagaan dalam membantu masyarakat tempatan untuk terus menjana pendapatan dengan aktiviti perniagaan kecil-kecilan di rumah masing-masing,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Reezal ketika berucap menyatakan bahawa PBT merupakan kerajaan ‘Third Tier’ yang turut memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi negara.

 

 

“Sebab itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), PBT disebut sebanyak 74 kali.

 

 

“Segala program tidak mungkin dapat mencapai kejayaan sekiranya tidak melibatkan  PBT,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

 

 

Justeru, Reezal turut menuntut MALA supaya menarik 54 lagi baki PBT untuk menyertai MALA yang kini dianggotai 97 PBT seluruh negara.

 

 

Pada majlis sama, turut berlangsung penyampaian hadiah bagi Pertandingan Piala Inovasi YB Menteri KPKT.

 

 

MBSP berjaya menggondol tempat kedua melalui projek Taman Upcycle dan berjaya membawa pulang geran KPKT bernilai RM500,000 beserta sijil dan piala.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR