GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelan tindakan bagi mengurangkan insiden kemalangan membabitkan pokok tumbang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pelan tindakan yang disediakan bagi kedua-dua PBT adalah berbeza antara satu sama lain disebabkan oleh faktor-faktor kawasan lokaliti yang berbeza.
“Bagi kawasan pentadbiran MBPP, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan kerja-kerja inventori pokok dengan menggunakan teknologi Smart Tree Inventory System (LIDAR) dan menganalisis maklumat inventori pokok melalui 4D ‘Digital Twin’.
“Kedua adalah teknologi satelit untuk mengesan tahap kesihatan pokok-pokok terutamanya di kawasan bandar dalam memacu agenda hijau melalui penyediaan peruntukan berjumlah RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng mengenai langkah-langkah mengurangkan insiden kemalangan berkaitan pokok pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pagi tadi.
Mooi Lye berkata, penilaian dan penyelenggaraan pokok juga telah dijalankan bagi mengurangkan kes kejadian pokok tumbang di 12 jalan utama di negeri ini.
“Jalan terlibat dalah terdiri daripada Jalan Residensi, Jalan York, Jalan Scotland, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Pangkor, Jalan Anson, Masjid Kapitan Keling, Lebuhraya Maktab, Jalan Batu Gantung, Jalan Gottlieb, Jalan Masjid Negeri dan Jalan Midland,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa MBSP turut menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di seluruh Seberang Perai melibatkan 21,291 batang pokok bermula Januari 2024 sehingga September 2024.
“Tambahan daripada itu termasuklah pemantauan dan pemeriksaan pokok ameniti di kawasan hotspot atau kawasan yang mempunyai pokok yang berisiko.
“Pemantauan dilakukan dengan menggunakan borang Visual Tree Assessment (VTA) atau borang penilaian awalan pokok ameniti, borang pemeriksaan tumbuhan dan penggunaan teknologi LIDAR.
“Selain itu, gotong-royong bagi kerja-kerja pemangkasan pokok turut dijalankan bagi menyelesaikan aduan pokok berisiko, berbahaya di ketiga-tiga daerah di dalam kawasan Seberang Perai.
“Turut dilaksanakan adalah kerja-kerja penyelenggaraan pokok di jalan-jalan utama secara berkala pada setiap hujung minggu bermula pada minggu pertama bulan Oktober 2024,” ujarnya yang juga ADUN Jawi.
Mengulas mengenai kes pokok tumbang, Mooi Lye berkata secara keseluruhannya, jumlah kerosakan adalah 30 kes yang melibatkan 20 buah kenderaan dan sepuluh bangunan, manakala 27 kes pula dilaporkan pada tahun 2024 yang melibatkan 22 buah kenderaan dan lima bangunan.
“Di kawasan MBSP pula, pada tahun 2023 terdapat sebanyak 19 kes akibat kejadian pokok tumbang yang melibatkan 16 buah kenderaan dan tiga buah bangunan.
“Sementara itu, sebanyak 13 kes dilaporkan pada tahun 2024 yang melibatkan 10 buah kenderaan dan tiga bangunan,” ujarnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS