GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal mengambil alih sepenuhnya pembangunan cadangan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) di Byram selepas proses Permintaan Cadangan (RFP) yang dibuka semula sebelum ini gagal dimuktamadkan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah PDC pada 20 Julai lalu, sekali gus menyaksikan PDC akan membangunkan tanah miliknya seluas kira-kira 1,300 ekar secara berfasa.
“Sebelum ini, PDC telah membuka semula tender bagi pembangunan tersebut, namun atas beberapa faktor tidak berjaya.
“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah PDC bersetuju untuk ‘take full control of the development’ (mengambil alih sepenuhnya pembangunan tersebut),” ujarnya ketika mengulas pertanyaan pemberita selepas menghadiri Dialog Makan Tengah Hari Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Wilayah Utara di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi, PDC merancang menyediakan kira-kira 200 ekar tanah setiap tahun bagi memenuhi permintaan pihak berkepentingan (stakeholders) serta pelabur.
“(Berhubung) kos tanah, ia perlu dikira berdasarkan ‘current market price’ (harga pasaran semasa).
“Hal ini kerana, tanah yang diperoleh melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 (bagi tujuan pembangunan taman perindustrian baharu) adalah berdasarkan harga terkini berbanding (pengambilan) tanah Batu Kawan terdahulu pada awal 1990-an hanya beberapa sen sahaja,” jelasnya.
Beliau menyatakan bahawa pendekatan pembangunan secara berfasa itu membolehkan PDC memastikan rizab tanah perindustrian mencukupi bagi memenuhi permintaan pelabur untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa projek jambatan yang menghubungkan kawasan pembangunan tersebut juga perlu disiapkan bagi menyokong pembangunan keseluruhan kawasan perindustrian berkenaan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN