GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai Request for Proposal (RFP) bagi cadangan pembelian dan pengoperasian pangsapuri perkhidmatan, iaitu salah satu komponen utama dalam pembangunan bercampur terbaharu, The Coast.
RFP tersebut dibuka kepada syarikat tempatan, antarabangsa serta konsortium yang berkelayakan bermula 1 Oktober sehingga 28 November 2025 dengan bayaran dokumen sebanyak RM3,000.

Dalam satu kenyataan bertulis, PDC memaklumkan bahawa projek The Coast merupakan projek pembangunan bercampur moden yang bakal mengubah landskap pesisir Barat Daya Pulau Pinang.
“Pembangunan di atas tanah seluas 5.15 ekar itu dirancang sebagai simbol kemajuan yang menyokong aspirasi Penang2030, ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan sejahtera.
Reka bentuk The Coast yang bersepadu dengan elemen alam semula jadi mencerminkan keharmonian antara kemodenan dan kelestarian, seiring komitmen PDC dalam menerajui pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta mampan.
“Ia menempatkan tiga komponen utama iaitu pangsapuri perkhidmatan moden, pejabat korporat bertaraf Kelas A dan ruang komersial berdaya tarikan tinggi dengan berkonsepkan ‘Live, Work & Play’ bagi memenuhi gaya hidup moden dalam satu persekitaran kondusif.
“Lebih daripada sekadar pembangunan fizikal, The Coast merupakan lambang harapan dan masa depan Pulau Pinang yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, pewujudan peluang pekerjaan serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
“(Dan) dengan lokasi strategik, reka bentuk moden dan ciri kelestarian unggul, The Coast diyakini bakal muncul sebagai mercu tanda baharu negeri serta destinasi pilihan utama pelabur dan masyarakat yang menghargai gaya hidup progresif dan mampan,” memetik kenyataan tersebut.
Terletak berhampiran Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, lokasi The Coast menawarkan akses strategik ke pelbagai infrastruktur utama termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Kedudukannya menjadikan projek ini tumpuan ideal bagi syarikat multinasional serta pelabur domestik dan antarabangsa yang mengutamakan kemudahan logistik serta jaringan perniagaan yang menyeluruh.
Antara keunikan The Coast adalah tumpuan terhadap teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar, termasuk sasaran untuk memperoleh penarafan ‘Platinum’ di bawah Green Building Index (GBI) serta pengiktirafan sebagai MSC Cybercentre, menjadikannya hab digital ideal bagi syarikat teknologi maklumat.
Maklumat lanjut berkaitan RFP boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi www.pdc.gov.my atau dengan menghubungi Farizah Hanum Ajmul Khan di talian 019-307 7073.