PDC diharap terus main peranan ‘game changer’ di Pulau Pinang

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow optimis dengan kemampuan dan daya juang dinamik semua agensi berkaitan untuk bangkit semula selepas terjejas dek pandemik COVID-19 dan kini memasuki Fasa Peralihan Endemik.

 

“Justeru, saya berharap PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) akan terus memainkan peranannya sebagai ‘game changer’ di Pulau Pinang.

 

“Besar juga harapan saya ingin melihat PDC menerajui pembangunan sosioekonomi akan datang daripada segi pelaburan, perindustrian, pembangunan tanah, rumah mampu milik dan lain-lain tanggungjawab sosial di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDC 2022 di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jailani Muhamed Yunus; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad dan dif-dif jemputan yang lain.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow juga ingin PDC bersama-sama dengan rakan strategik pembangunan lain, baik daripada sektor awam mahupun swasta memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan negeri, selaras dengan hasrat Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Pada majlis sama, PDC meneruskan amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,070 kepada anak-anak yatim di Pusat Jagaan Permata Kasih daripada kakitangan/bekas kakitangan serta kerjasama PUSPANITA dan Kelab Sukan PDC.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING