GEORGE TOWN – Warga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diseru untuk terus mengamalkan pendekatan strategik, berasaskan data serta inovatif dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keupayaan mengenal pasti sektor pertumbuhan baharu serta menyesuaikan strategi mengikut perubahan semasa adalah amat penting bagi memastikan Pulau Pinang kekal berdaya saing.
“Pendekatan ini perlu menjadi teras kepada setiap perancangan agar pembangunan yang dilaksanakan lebih responsif dan mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PDC dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan Dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Exco Perumahan Dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dan Timbalan Ketua Eksekutif Kanan PDC (Pengurusan), Abdul Latiff Abd. Aziz.




Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menekankan kepentingan aspek tadbir urus serta pengurusan kewangan yang berkesan dalam memastikan keberhasilan sesuatu projek pembangunan.
Menurut beliau, amalan seperti value engineering, kawalan kos yang ketat serta pemantauan projek secara sistematik perlu dijadikan sebagai budaya kerja dalam organisasi.
“Setiap perbelanjaan hendaklah diurus secara berhemah bagi memastikan impak pembangunan yang maksimum dapat dicapai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa landskap ekonomi global kini berdepan ketidaktentuan yang ketara, didorong oleh tekanan inflasi, perubahan rantaian bekalan serta peningkatan kos pembiayaan.
Tambah beliau, situasi tersebut memberi kesan langsung kepada sektor pembangunan, khususnya melibatkan kos bahan binaan, tenaga kerja dan kadar faedah.
Sehubungan itu, Kon Yeow menegaskan bahawa Pulau Pinang perlu terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi berdaya saing pada peringkat global.
“Statistik terbaharu Januari 2026 menunjukkan Pulau Pinang kekal sebagai nadi ekonomi Malaysia yang paling memberangsangkan dengan sumbangan sebanyak 44.2 peratus atau RM65 bilion kepada jumlah eksport negara.
“Sebagai gergasi ekonomi yang mendominasi sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) global, kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah pentadbiran tradisional yang perlahan,” ulasnya lanjut.




Mengulas cabaran peningkatan kos pembangunan, beliau menegaskan bahawa setiap projek perlu dirancang secara lebih strategik dan berdisiplin dengan penekanan kepada daya maju kewangan, kecekapan kos serta pulangan nilai optimum kepada negeri dan rakyat.
“Justeru, peranan warga PDC amat signifikan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Setiap perancangan yang dirangka memerlukan pelaksanaan yang cekap, tersusun dan berintegriti,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Latiff yang turut berucap sebelum itu berkata bahawa PDC terus komited dalam memperkasa pembangunan fizikal negeri di samping memperluaskan pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan.
Beliau menyatakan bahawa pelbagai inisiatif sosial telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025, dan usaha tersebut akan terus diperkukuh pada tahun ini.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen PDC dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan turut memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latiff memaklumkan bahawa pada 17 Mac lalu, PDC telah menyalurkan zakat skim wakalah berjumlah RM27,500 kepada penerima yang layak.
“Antara penerima sumbangan tersebut termasuk institusi pendidikan, rumah kebajikan serta keluarga asnaf.
“Sebahagian besar dana zakat skim wakalah tersebut diperuntukkan bagi menaja kos pengajian anak-anak asnaf dalam kursus jangka pendek bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan taraf hidup penerima, malah menyokong keperluan tenaga kerja terlatih dalam sektor perindustrian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Latiff turut menyeru seluruh warga PDC agar terus memperkukuh hubungan, memperbaharui tekad serta bekerjasama dalam memastikan organisasi tersebut kekal unggul sebagai peneraju pembangunan negeri.
“Semangat kebersamaan dan komitmen tinggi amat penting dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak menyeluruh,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS