PDC rangka pelan strategik pembangunan baharu untuk 50 tahun akan datang

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kini sedang merangka suatu pelan strategik pembangunan baharu untuk tempoh 50 tahun akan datang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, PDC sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang sejak 50 tahun lalu akan terus memainkan peranannya merintis ke arah era strategi pembangunan baharu yang seimbang di bahagian pulau dan Seberang Perai.

 

“Cabaran pembangunan pada hari ini adalah untuk memastikan perancangan yang dirancang akan terus membantu para (pemain) industri di Pulau Pinang.

 

“(Dan) menjadi suatu cabaran buat PDC juga untuk menyediakan infrastruktur kepada para industri (pelabur) termasuk sokongan logistik, pengangkutan dan tenaga kerja mahir dalam memastikan pelaburan terus ke Pulau Pinang.

 

“Oleh itu, PDC kini sedang merangka pelan strategik pembangunan yang baharu untuk 50 tahun akan datang bagi memastikan pembangunan di negeri ini terus mampan,” ujarnya ketika ditemui sejurus merasmikan acara Sukan Tradisional Mini Gemaputera 2019 sempena sambutan ulang tahun ke-50 PDC di Konkos Tingkat 3, Komtar pagi ini.

PESERTA dari negeri Perak tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan Mohd. Bazid Abdul Kahar (lima dari kiri) di Komtar.

 

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abdul Kahar; pengerusi acara, Zulkifli Ismail serta wakil-wakil daripada 10 perbadanan kemajuan ekonomi negeri seluruh Malaysia.

 

Terdahulu, ketika berucap, Kon Yeow memberitahu bahawa PDC merupakan badan penting yang akan terus memainkan peranan dalam menggalakkan pertumbuhan negeri dan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.

 

“Catatan pelaburan RM8.85 bilion bagi sektor pembuatan pada suku pertama tahun ini telah berjaya meletakkan Pulau Pinang di kedudukan teratas berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

 

“(Dan) ini secara tidak langsung mencerminkan kesungguhan PDC dalam mencorak landasan pembangunan ekonomi di negeri ini,” jelasnya yang juga Pengerusi PDC.

 

Dalam pada itu, Mohd. Bazid ketika ditemui bertekad untuk mengembalikan kegemilangan PDC sebagai peneraju pembangunan negeri.

 

“Apabila PDC berjaya, maka Pulau Pinang juga akan berjaya dan pelan strategik pembangunan yang dirangka ini akan menjadi panduan ke arah era baharu,” katanya.

KETUA Menteri dan Mohd. Bazid Abdul Kahar berjabat tangan sebelum berentap dalam permainan congkak.

Sejurus merasmikan acara Sukan Tradisional Mini Gemaputera 2019, Mohd. Bazid dan Kon Yeow sempat meluangkan masa berentap dalam permainan congkak dan dam haji gergasi.

 

Malah, Kon Yeow turut berjaya menewaskan Mohd. Bazid dalam permainan sengit dam haji gergasi.

 

Difahamkan, acara sukan tradisional ini berlangsung selama tiga hari mulai 26 Julai sehingga 28 Julai yang mana enam acara sukan dipertandingkan iaitu galah panjang, sepak raga ratus, batu seremban, congkak dan dam haji gergasi serta nyanyian lagu irama Malaysia.

 

Kira-kira 400 peserta dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan UDA Holdings Berhad mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan oleh PDC.

DAM haji gergasi antara permainan yang mendapat sambutan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI 
Video : ALISSALA THIAN