PDRM, ATM terima sumbangan Aidilfitri tanda penghargaan

Admin

JASAMU DIKENANG… Bagi mengenang pengorbanan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan wang sempena sambutan Aidilfitri kepada kedua-dua pasukan keselamatan berkenaan di sini baru-baru ini.

Pemberian tahunan tersebut adalah sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap jasa PDRM dan ATM dalam menjamin serta mengekalkan tahap keselamatan di Malaysia dan Pulau Pinang khususnya.

Majlis penyampaian sumbangan cek masing-masing bernilai RM10,000 tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

PDRM diwakili oleh Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Chuah Ghee Lye, manakala, ATM, Leftenen Kolonel Mohd. Yusoff Nor (Ketua Staf Markas 6 Briged).

Dalam pada itu, Ghee Lye mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meneruskan pemberian sumbangan kepada PDRM Pulau Pinang.

“Sumbangan ini akan memberi rangsangan kepada para pegawai dan semua anggota untuk menjalankan tugas dengan lebih baik,” ujarnya.

Nada sama turut disuarakan Mohd. Yusoff di atas sumbangan berkaitan.