Pedestrian is King of the Road diperluas ke Lebuh Chulia

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) giat melaksanakan kempen Pedestrian is King of the Road, demi mengubah sikap pemandu kenderaan supaya mengutamakan pejalan kaki.

Ahli Majlis bagi MBPP, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, inisiatif terbaru pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan adalah dengan mewujudkan sebuah lagi lintasan tanpa lampu isyarat untuk pejalan kaki di Lebuh Chulia berhampiran persimpangan Lebuh Cinta.

Sebelum ini, katanya, telah wujud tiga lintasan pejalan kaki tanpa lampu isyarat di sini.

“Selalunya, kelihatan kenderaan akan jalan terus sahaja, tetapi dengan lintasan seperti ini, kita beri laluan kepada pejalan kaki. Tambahan pula, kawasan seperti ini adalah kawasan tumpuan pelancong.

“Kempen (Pedestrian is King of the Road) seperti pemasangan papan tanda, poster dan hebahan melalui radio diharap dapat membangkitkan kesedaran pemandupemandu di Pulau Pinang berkenaan hal tersebut,” jelasnya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pedestrian is King of the Road dekat Lebuh Chulia di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Penguatkuasa Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Inspektor Mohd. Izarrie Shafie, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Muhamad Husni Mahmud, Ahli Majlis bagi MBPP, Gan Ay Ling, Nur Zarina Zakaria, D.R Kala dan Chris Lee Chun Kit.

Mengulas lanjut, Mohd. Izarrie mengingatkan bahawa pemandu yang mengabaikan lintasan pejalan kaki boleh dikompaun maksimum sebanyak RM300.

Projek Pedestrian is King of the Road buat julung kalinya dilancarkan pada 30 November 2015 di Lebuh Farquhar, berhampiran mahkamah dan diikuti Jalan Burma.

if (document.currentScript) {