Didik amalan pengasingan sisa di punca sejak sekolah, lahir generasi prihatin

GEORGE TOWN – Program pendidikan mengenai amalan pengasingan sisa di punca mesti dilangsungkan ke semua sekolah di negeri ini, selain langkah penguatkuasaan berwajib mulai 1 Jun ini, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

“Amalan hijau yang diterapkan sejak bangku sekolah bukan saja bakal melahirkan generasi prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar, bahkan pengetahuan dan amalan tersebut akan mempengaruhi tingkah laku seseorang pada masa depan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis MBPP, serta beberapa wakil penaja seperti Suiwah Corporation Berhad, E&O Property (Penang) Sdn. Bhd. dan Mah Sing Group.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diminta memberi tumpuan pada penerapan Amalan 4R, atau Rethink (Fikir Semula), Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (kitar Semula) dalam silibus pendidikan tidak langsung, meliputi pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis MBPP, Ir. Ang Aing Thye berkata, sehingga 7 April lalu, sebanyak 59 sekolah telah menghantar penyertaan anugerah kali ini, berbanding 38 buah yang mengambil bahagian pada saingan tahun lalu.

Tambahnya, penganugerahan adalah berdasarkan penilaian pada aspek recycle & upcycle, inovasi dan kreativiti, kebersihan, penghijauan serta penglibatan komuniti.

“Tarikh tutup penyertaan adalah pada 21 April 2016, program tahunan kali ini menawarkan hadiah wang tunai (sejumlah) RM10,000, 64 unit komputer riba terpakai untuk kegunaan sekolah, piala berserta sijil penghargaan,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Pembimbang Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Lebuh Light, Wong Wai Pheng berharap sekolahnya turut dipilih sebagai johan pada kali ini, seperti pada tahun 2015.

“Diharap tahun ini, turut akan membawa tuah buat kami.

“Kita (pihak sekolah) akan meneruskan usaha menanam pokokpokok hijau, mengitar semula sisa menjadikannya enzim dan baja kompos serta akan terus membuka peluang buat pelajar untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam memelihara alam sekitar,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini.

Dalam majlis berasingan, Aing Thye turut melancarkan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2016 F&N Peringkat Pulau, yang dianjurkan secara bersama dengan syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N).

Difahamkan, pertandingan itu berlangsung selama empat bulan mulai 11 April lalu hingga 12 Ogos depan, dengan penyertaan terbuka peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pemenang pertandingan bakal menerima wang tunai RM1,400, diikuti RM1,300 (naib johan), RM1,200 (ketiga), RM1,100 (keempat), RM1,000 (kelima) dan saguhati (lima pemenang, masing-masing RM300) Sebarang pertanyaan, sila layari laman sesawang, www.mbpp.gov.my.

if (document.currentScript) {