Jejambat BLE dibuka

Oleh:WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

BATU MAUNG – Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa Jejambat Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) sepanjang 3.2 kilometer yang menyambungkan Batu Maung ke Bayan Baru dibuka mulai 6 April 2016.

“Walaupun menerima banyak kritikan dan halangan, namun akhirnya jejambat ini berjaya disiapkan,” katanya selepas membuat tinjauan akhir di tapak pemajuan di sini baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkenaan merakamkan penghargaan kepada JKR serta pemaju, UEM Builders Berhad (UEM) kerana menyiapkan projek itu.

Beliau turut memuji Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana pantas menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Keselamatan (badan bebas) yang diketuai Dato’ Dr. Gue See Siew untuk memastikan kerja-kerja di tapak pemajuan selamat, tidak menjejaskan trafik kenderaan serta siap mengikut jadual.

Pada sidang media sama, ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berharap jejambat baharu itu dapat mengurangkan kesesakan trafik, khususnya pada waktu puncak.

“Kita akan dapat lihat hasil dan kualiti kerja selepas projek ini dibuka sepenuhnya,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sebelum itu, Pengarah Projek dari UEM, Ismade Ismail memberitahu, kerja-kerja di tapak pemajuan dalam tempoh 3.2 juta jam tersebut mencatatkan sifar kemalangan.

“Projek bernilai RM337 juta yang memakan masa lebih kurang dua tahun ini merangkumi 4.4 kilometer (km) bahagian bawah yang dinaiktaraf serta Jejambat BLE sepanjang 3.2km,” ujarnya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Salleh Awang dan Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A.Rajendran.

Difahamkan, projek pembinaan Jejambat BLE dan penarafan sebahagian Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu bermula pada 1 April 2014. Lorong basikal serta tiga jambatan basikal dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh Mei hingga Jun ini.if (document.currentScript) {