PEKA sasar 40 kelas tuisyen percuma di seluruh KADUN Pulau Pinang tahun ini

Admin

SERI DELIMA – Penggerak Komuniti Muda (PEKA) menyasarkan 40 kelas tuisyen percuma ditubuhkan di seluruh Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di seluruh Pulau Pinang tahun ini.

Terbaharu, inisiatif tersebut dilancarkan di KADUN Seri Delima membabitkan kelas tuisyen percuma kepada pelajar Darjah 6 yang akan menduduki
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Syerleena Abdul Rashid ketika pelancarannya siang tadi memberitahu bahawa, inisiatif pendidikan percuma kepada pelajar Darjah 6 tersebut diberikan keutamaan kepada pelajar-pelajar daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, kita mempunyai seramai lebih kurang 15 pelajar, dan penyertaan masih dibuka kepada pelajar yang berminat dan mereka yang layak.

“Di sini, tuisyen percuma ini akan memfokuskan kepada subjek sains dan matematik di mana ia adalah selaras dengan kepentingan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” ujarnya ketika ditemui di Penang Math Platform (PMP) dekat Gelugor di sini, pagi tadi.

Hadir sama Penghulu Daerah Barat Daya, Nazrizal Nasib dan Penyelaras PEKA, Mohd. Hazizi Padzil.

Difahamkan bahawa tuisyen percuma tersebut akan diadakan pada hari Ahad setiap minggu dan tenaga pengajar berpengalaman dilantik oleh pihak PEKA.

Manakala, kos-kos lain seperti penyediaan tempat yang sesuai dan sebagainya ditaja oleh ADUN setempat.

Tuisyen tersebut adalah inisiatif khas Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama pihak PEKA sejak dari tahun 2017 bagi memberikan perkhidmatan pendidikan percuma kepada pelajar yang memerlukan.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF