Pekerja istimewa MPPP terima anugerah cemerlang

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU) tidak pernah menjadi penghalang kepada Operator Pengendali Telefon Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Nordin Hanafiah, 48, yang cacat penglihatan untuk turut disenaraikan sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan baru-baru ini.

NORDIN Hanafiah.
NORDIN Hanafiah.

Nordin yang bertugas selama 17 tahun di MPPP berkata, terdapat banyak cabaran dihadapinya, namun berkat pertolongan rakan-rakan sekerja, semua permasalahan dapat diatasi dengan mudah.

“Sikap berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain adalah pegangan yang diikutinya selama ini.

“Bersikap baik dan jangan jadikan ketidakmampuan sebagai alasan. Jadilah insan yang bukan mengharap tetapi diharapkan. Buatlah setakat mana yang mampu dan jangan terlalu mengharapkan orang lain” katanya ketika diminta mengulas berhubung pencapaian cemerlang beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Nordin merupakan salah seorang daripada 176 pegawai yang dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 oleh MPPP di Dewan Bandaran, Jalan Padang Kota Lama di sini.

Mengulas mengenai bidang tugasnya, Nordin menyatakan bahawa beliau hanya menggunakan telefon biasa untuk menjawab sebarang panggilan yang diterima. Malah, bagi melancarkan gerak kerja harian, penggunaan komputer dan telefon bimbit adalah lebih mudah dengan adanya kelengkapan perisian (software) beraudio.

Beliau yang cacat penglihatan sejak lahir bersyukur dengan anugerah diterima.

“Saya gembira dengan pemberian ini dan menganggap ianya adalah rezeki untuk meraikan Hari Raya bersama keluarga menjelang Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail semasa ucaptamanya berkata, pengiktirafan saban tahun tersebut adalah sebagai ganjaran kepada pekerja yang gigih dan berprestasi cemerlang.

“Para penerima bukan sahaja menerima sijil penghargaan, malah, mereka juga menerima imbuhan RM1,000 yang akan dimasukkan terus ke akaun bank masing-masing.

“Lanjutan itu, para penerima juga bakal diberikan keutamaan untuk memajukan kerjaya serta berpeluang dicalonkan untuk menerima pingat serta darjah kebesaran pada masa akan datang,” jelas beliau.