CUEPACS mohon maaf atas kekeliruan

Admin
KETUA Menteri berjabat tangan dengan Omar Osman (enam dari kiri) bersempena kunjungan hormat beliau terhadap Ketua Menteri di Komtar baru-baru ini.
KETUA Menteri berjabat tangan dengan Omar Osman (enam dari kiri) bersempena kunjungan hormat
beliau terhadap Ketua Menteri di Komtar baru-baru ini.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNPresiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman memohon maaf kepada Ketua Menteri di atas kekeliruan serta tuduhan bahawa Kerajaan Negeri bersikap dingin dan enggan memberikan kerjasama untuk membincangkan perkara berkaitan penjawat awam sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Kata Omar, kekeliruan tersebut berlaku ekoran kandungan surat dihantar CUEPACS negeri adalah untuk memohon sumbangan dan bukannya permohonan bagi tujuan membuat sebarang temujanji.

“Perkara ini berlaku kerana segala hal surat-menyurat adalah diuruskan oleh CUEPACS negeri dan bukannya kebangsaan.

“Ekoran itu, saya sendiri telah mengambil inisiatif menulis surat kepada Ketua Menteri untuk menyatakan hal yang sebenarnya dan Alhamdullilah, ia telah diluluskan oleh beliau (Ketua Menteri) dalam kadar yang cepat,’’ katanya pada majlis sidang akhbar bersempena kunjungan hormat beliau terhadap Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman kesal dengan sikap dingin Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang seolah-olah keberatan untuk menjalinkan hubungan dengan badan itu.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan balasnya bertarikh 23 Jun 2012 kesal dengan kenyataan yang tidak benar tersebut.

Lanjutan itu, Pejabat Ketua Menteri telah membuat siasatan dan mendapati bahawa Omar tidak pernah menulis surat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan tidak ada mana-mana pegawai daripada Pejabat Ketua Menteri yang menerima permohonan ataupun dihubungi Omar untuk tujuan berjumpa dengan Ketua Menteri.

Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man dan Pengerusi CUEPACS Pulau Pinang, Mohd. Sayuthi Harun.

Tambah Omar, pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri juga adalah satu faktor berlakunya salah faham berkenaan apabila dahulunya surat dihantar ketika Datuk Zainal Rahim Seman memegang jawatan berkenaan.

“Semasa surat sumbangan dihantar ketika itu di bawah Datuk Zainal Rahim Seman. Sepatutnya, CUEPACS negeri perlu membuat susulan selepas menghantar surat pertama bertarikh 16 Februari 2011.

“Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf kepada Ketua Menteri di atas kekeliruan yang berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, Omar turut menasihatkan para penjawat awam di Pulau Pinang supaya menghargai segala kelebihan insentif yang diberikan Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Guan Eng.

“Penjawat awam (Pulau Pinang) perlu bersyukur dan menghargai kelebihan insentif bonus yang diberikan Kerajaan Negeri. Ini membuktikan Ketua Menteri prihatin.

“Negeri-negeri lain boleh turut melaksanakan inisiatif sebegini dan diharapkan dengan cara begini dapat meringankan beban penjawat awam,” nyata Omar.