Pekida Barat Daya mohon Kon Yeow biaya kos beli van jenazah

GEORGE TOWN – Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Barat Daya berharap Ketua Menteri Pulau Pinang Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dapat membantu membiayai kos membeli sebuah van jenazah untuk kerja-kerja kebajikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Setiausahanya, Ahmad Yakqub Nazri menyatakan hasrat itu ketika mengadakan majlis kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri di sini petang tadi.

“Kami ini ‘Non-Gaji Organization’… rancangan NGO kami antaranya adalah (untuk memilili sebuah) van mayat yang akan digunakan untuk membawa jenazah-jenazah fakir miskin dengan percuma.

“Contoh, ada kematian di Pulau Pinang tapi nak dikebumikan di Taiping (Perak), kos minyak, kos tol, upah pemandu, Pekida tanggung.

“Cuma nak dapatkan sebuah van jenazah itu, kosnya terlalu tinggi, hampir RM100,000, kami berharap YAB dapat mengusahakan sebuah van jenazah ini untuk NGO kami,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kerana cakna kebajikan umat Islam dan orang-orang Melayu di negeri ini.

Sebelum itu, Ahmad Yakqub membentangkan kepada Kon Yeow mengenai program tahunan Pekida meliputi aktiviti dakyah dan acara kebajikan.

Kon Yeow dalam pada itu menzahirkan rasa kagum dengan organisasi Pekida, terutama daripada aspek keanggotaan yang luas dan ramai, serta program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh NGO itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS