Pelaburan 2019-2025 meningkat kepada RM217.42 bilion, cermin keyakinan pelabur

Admin
img 20251120 wa0049

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai RM217.42 bilion bagi tahun 2019 hingga suku suku ketiga 2025 berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah itu meningkat sebanyak RM65.67 bilion berbanding tahun 2009 hingga 2018.

“Peningkatan lebih tiga kali ganda ini mencerminkan peningkatan tahap keyakinan pelabur terhadap negeri Pulau Pinang,” ujarnya dalam sesi Ucapan Penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa lonjakan pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun 2021 berjumlah lebih RM74.44 bilion dan pelaburan domestik (DDI) berjumlah RM1.78 bilion.

“Sementara itu, prestasi luar biasa tahun 2023 yang mencecah RM60.13 bilion (FDI) dan pelaburan domestik berjumlah RM3.29 bilion, bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya kejayaan ini terhasil daripada penetapan dasar yang konsisten, perancangan yang teliti dan keyakinan pelabur global terhadap kestabilan serta keupayaan negeri ini.

“Pada masa sama, pelaburan domestik terus menunjukkan komitmen kukuh dengan aliran masuk pelaburan langsung domestik yang stabil, sekali gus menggambarkan kepercayaan syarikat tempatan terhadap arah tuju ekonomi Pulau Pinang.

“Situasi ini mencerminkan pertumbuhan industri negeri tidak hanya bergantung kepada FDI semata-mata, tetapi turut diperkasakan oleh kekuatan pemain tempatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Kon Yeow menyatakan bahawa sehingga September 2025, Pulau Pinang merekodkan pelaburan mencecah RM15.79 bilion.

“Ini merupakan suatu pencapaian yang membuktikan ketahanan ekonomi Pulau Pinang walaupun dunia sedang berdepan isu tarif, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan rantaian bekalan global.

“Pulau Pinang kukuh sebagai pilihan selamat untuk pelabur yang mementingkan kestabilan, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan.

“Kerajaan Negeri komited dalam memastikan momentum ini diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti tinggi, automasi, digitalisasi, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi strategik yang mampu menjamin daya saing negeri dalam jangka panjang.

“Ini penting kerana kita bukan sekadar mahu menjadi peneraju, tetapi penanda aras kepada negeri-negeri lain,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF