Pelaburan RM4 bilion Broadcom di Batu Kawan, lonjak ekonomi Pulau Pinang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SHUM JIAN-WEI

BUKIT TAMBUN – Pelaburan kira-kira RM4 bilion Global Broadcom Ltd. (Broadcom) dengan membuka gudang penghantaran barangan antarabangsa baru di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini, sekaligus diharap melonjakkan perkembangan ekonomi di negeri ini.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap firma multinasional dari Amerika Syarikat (AS) berkenaan turut akan memindahkan operasi dua lagi gedung penghantaran barang global luar persisiran pantai ke negeri ini.

“Pulau Pinang ada lokasi yang begitu strategik, dengan sambungan jalan yang begitu baik untuk pengangkutan kargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta Pelabuhan Pulau Pinang.

“Kedudukan Batu Kawan sendiri berhampiran dengan Lebuh Raya Utara Selatan sudah tentu begitu strategik, sebagai laluan pengangkutan kargo darat,” jelasnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Gedung Penghantaran Global Broadcom Ltd. di sini 19 September lepas.

Turut berucap, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Naib Presiden Kanan Operasi Global Broadcom Ltd., B.C. Ooi serta Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Difahamkan, statistik perdagangan semikonduktor dunia pada tahun ini meningkat 11.5 peratus menjadi 377.8 bilion Dolar AS, pertumbuhan 12.4 peratus di Asia Tengara merupakan paling tinggi.

Dalam tempoh 2008 hingga 2016, RM14 bilion atau 24 peratus pelaburan dari AS merupakan pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang paling tinggi, berbanding negeri-negeri lain.

Broadcom sendiri, menurut Guan Eng, sejak tahun 1972 bersama-sama satu pelabur lain, Hewlett-Packard mula melabur di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

Katanya, jumlah penghantaran barangan tahunan Broadcom dianggarkan empat bilion unit, dengan hasil kira-kira RM64 bilion, jika operasi dua gedung luar persiaran pantai lain turut dipindahkan ke negeri ini kelak.

Tambah Guan Eng, jumlah eksport Pulau Pinang dalam suku tahun pertama (Q1) 2017 sejumlah RM52.9 bilion menyaksikan 22 peratus peningkatan, berbanding RM43.5 bilion.

“Eksport Pulau Pinang kepada keseluruhan eksport negara adalah 23.5 peratus,” ujarnya.

Selain Broadcom, Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang turut menerima pelaburan ‘jutaan ringgit’ dari syarikat multinasional AS, antaranya Boston Scientific dan UST Global.

“Secara jelasnya di sini, syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat masih melabur di Pulau Pinang,” jelas Guan Eng sambil merakamkan penghargaan atas partisipasi Mustapha serta Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Modal Broadcom Ltd. dalam industri semikonduktor dan perkilangan dianggarkan bernilai kira-kira 97 bilion Dolar AS atau RM445 bilion.

Sehingga Jun 2017, Broadcom Pulau Pinang sendiri mempunyai kira-kira 500 pekerja dan pelaburan terbaru ini dijangka akan menyediakan 300 lagi peluang pekerjaan kelak untuk rakyat Malaysia di negeri ini.