Pelajar diseru hindari diri daripada aktiviti jenayah – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Golongan pelajar diseru agar menghindarkan diri daripada terjerumus dengan aktiviti jenayah seperti penagihan dadah, pergaulan bebas dan sebagainya.

Seruan tersebut disuarakan Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee ketika hadir merasmikan Program Pemantapan Sahsiah Diri Pelajar Negeri Pulau Pinang 2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (DTL), Jalan Patani di sini sebentar tadi.

Menurut Lip Chee, selain mendedahkan pelajar tentang bahaya jenayah, program tersebut antara lainnya membuka ruang buat mereka (pelajar) untuk memahami dengan lebih dekat kerjaya Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Program hari ini juga wajar diberi galakan dan sokongan supaya remaja-remaja akan lebih memahami cara-cara pengoperasian balai polis serta tanggungjawab pihak polis.

“(DAN) ia merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar dalam memantapkan sahsiah diri mereka yang sedang meningkat dewasa,” ucapnya semasa merasmikan program tersebut, pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Ketua Polis DTL, ACP Che Zamani Che Awang dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah merangkap Timbalan Keselamatan Komuniti Kontijen Pulau Pinang, ACP Somsak A/L Din Kelliaw.

Turut serta, Pegawai Bimbingan dan Kaunseling Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Zakaria Zain dan wakil Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pendidikan DTL, Jalil Abdul Karim.

Difahamkan, program julung kali ini adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bersama-sama Pusat Khidmat ADUN Batu Uban, Ibu Pejabat Polis DTL dan juga JPNPP.

Seramai 80 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir dan SMK Sungai Nibong menyertai program berkaitan.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI