Pelajar-pelajar cemerlang SPM syukur penghargaan negeri

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Rata-rata pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam semua matapelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2013 melahirkan rasa syukur dan teruja dengan penghargaan yang diberikan Kerajaan Negeri.

Salah seorang penerima, Muhammad ‘Izzat Mohd. Zubir, 18, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama (L) Al-Mashoor, memperoleh 11A+ (tambahan subjek Bahasa Arab. Ulum al-Quran & as-Sunnah dan Syari’ah Islamiyah) melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan pencapaiannya.

“Alhamdulillah, semangat untuk terus berbakti bukan sahaja pada keluarga, tetapi pada negeri dan negara berkobar-kobar. InshaAllah, saya berhasrat untuk menjadi ahli astrofizik suatu hari kelak,” kata anak ke-lima daripada enam adik-beradik kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Muhammad ‘Izzat merupakan salah seorang pelajar daripada jumlah keseluruhan 337 yang terpilih menerima hadiah penghargaan daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Selain penghargaan berupakan wang tunai, kumpulan pelajar cemerlang itu juga menerima sijil penghargaan dan trofi khas sebagai  penghargaan dan galakan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri hadir menyempurnakan penyampaian insentif tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Ketua Menteri, Wong Hon Wai, ADUN Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan dan Ku Mariam Ku Iskandar (Ketua Penolong Pengarah (Bahasa Inggeris), Sektor Pengurusan Akademik yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang).

Bagi dua sahabat baik dari SMK (P) St. George’s pula, Vishnu Priya, 18, dan Yuhaniz Abdul Malik, 18, yang memperoleh keputusan 9A+ turut berasa teruja dan berhasrat untuk berkhidmat sebagai doktor pakar di Pulau Pinang suatu hari kelak.

“Syukur dan rasa bermotivasi dengan kata-kata semangat daripada Ketua Menteri, InshaAllah, akan kembali menabur bakti di Pulau Pinang,” kata Yuhaniz yang turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Pelajar Melayu Terbaik.

Kegembiraan turut dikongsi dua adik-beradik yang cacat penglihatan sejak dilahirkan, Felicia Pui Jia Hui, 19 dan Andrea Pui Jia Hui, 19, masing-masing memperoleh 7A+ dan 8A+ dalam peperiksaan SPM lalu.

Ibu mereka, Teresa Wong, 53 dan bapa, Leo Pui Jung Kie, 47, menyifatkan kejayaan anak-anak istimewa mereka sebagai suatu keajaiban.

“Kami tidak mengharapkan keputusan cemerlang, namun apa yang mereka capai sebagai satu bonus dan keajaiban buat kami.

“Kejayaan mereka bukan sahaja dari usaha sendiri, tetapi juga kegigihan guru-guru yang bersabar mengajar anak-anak saya sehingga berjaya,” kata Jung Kie.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya menyatakan bahawa apabila memperoleh kejayaan cemerlang, sewajarnya para pelajar diberi sokongan dan penghargaan supaya golongan tersebut terus bersemangat meneruskan perjuangan di mana-mana institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.

Tahun lalu, seramai 479,395 calon berdaftar menduduki peperiksaan SPM dan 13,970 calon mendapat keputusan semua A dengan nilai Gred Purata Nasional (GPN) ialah 4.93 berbanding 5.08 pada tahun 2012.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan nilai gred purata yang lebih baik iaitu 4.87 berbanding tahun 2012 (4.73).

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Cina diumumkan sebagai sekolah terbaik diikuti SMJK Jit Sin dan SMJK Chung Ling, Butterworth.

Manakala, lima pelajar SMK (P) St. George’s mendapat keputusan semua subjek lulus dengan A+, diikuti SMK Tinggi Bukit Mertajam dan SMJK Chung Ling, Butterworth, masing-masing dengan empat calon.