Pelajar terpilih terima pensel sumbangan korporat

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 1,346  murid dari 10 sekolah Tamil terpilih menerima sumbangan 15,000 batang pensel hasil sumbangan syarikat korporat, JCI Pearl dan ahli korporat, Datuk M. Supiah di sini baru-baru ini.

Menurut wakil JCI Pearl, Benson Wong berkata, sumbangan tersebut adalah bagi meringankan bebanan kewangan ditanggung keluarga kurang mampu di sekolah-sekolah berkenaan.

“Murid-murid yang menerima sumbangan ini terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan ataupun mempunyai tanggungan anak yang ramai,’’ ujarnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pensel Kepada Pelajar-pelajar Dari 10 Sekolah Tamil Terpilih di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis adalah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Menurut Ramasamy, beliau berharap sumbangan berkenaan mampu membantu murid-murid dalam pembelajaran masing-masing.

“Walaupun sumbangan ini tidaklah begitu besar nilainya, tetapi bagi keluarga kurang berkemampuan, ia adalah amat bermakna.

“Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka dan pada masa sama menyuntik semangat para pelajar untuk terus mengejar ilmu,” nyatanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi berharap lebih banyak lagi badan-badan korporat lain tampil menghulurkan sumbangan terutama terhadap pembangunan sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang