PERMATANG PAUH – Seramai 440 pelajar diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang menerima manfaat menerusi Program Literasi Kewangan dan Keusahawanan hasil sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Koordinator Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM Cawangan Pulau Pinang, Dr. Adi Izhar Che Ani berkata, pelaksanaan Program Young Entrepreneurial Summit (Y.E.S 3.0) yang berlangsung dari 4 hingga 6 November lalu adalah bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang keusahawanan dan pengurusan kewangan.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja menekankan aspek perniagaan, malah berupaya membentuk minda pelajar sebagai pencipta peluang selari dengan misi dan falsafah baharu UiTM.
“Program ini berjaya memupuk mentaliti majikan dalam kalangan pelajar serta melahirkan graduan yang bukan sekadar bersedia memasuki alam pekerjaan, malah mampu mencipta peluang pekerjaan dan membina perniagaan sendiri,” katanya pada majlis serahan berkaitan yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Pulau Pinang, di sini, pada 15 Disember 2025.

Dalam pada itu, dana sumbangan CSR SSM Negeri Pulau Pinang telah dimanfaatkan sebagai modal permulaan perniagaan pelajar sepanjang program berlangsung. Keuntungan hasil aktiviti jualan dan keusahawanan pelajar kemudiannya disalurkan ke dalam akaun i-Saraan KWSP, sekali gus menggalakkan amalan simpanan jangka panjang sejak di bangku pengajian.
Difahamkan, kaunter perkhidmatan KWSP turut dibuka sepanjang majlis berlangsung bagi memberikan penerangan berkaitan skim i-Saraan serta menguruskan pembukaan akaun secara terus kepada pelajar terlibat.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan sesi perkongsian inisiatif i-Saraan oleh wakil KWSP, majlis simbolik serahan dana sumbangan CSR, sesi fotografi serta Sesi Bicara Simpanan Kewangan KWSP bertajuk ‘Simpan Cara Kita’.

Teks & Gambar: UiTM PULAU PINANG