Pelaksanaan kadar minimum caj Sijil Kesihatan Veterinar mulai April ini

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal melaksanakan caj bayaran kadar minimum ke atas Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan Akaun Kebenaran Pindah Keluar/Masuk (AKPK/AKPM) ternakan mulai 1 April ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata caj tersebut akan dikenakan kepada semua jenis haiwan sama ada di dalam dan keluar negeri.

Katanya lagi, pelaksanaan caj minimum tersebut dijangka dapat menambahkan pendapatan Kerajaan Negeri sebanyak hampir RM1 juta setahun.

Caj bayaran kadar minimum mengikut warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2008 yang ditetapkan mengikut bilangan ekor berbanding konsimen sebelum ini.

“Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang (254) bertarikh 5 Jun 2008 mengandungi kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ke atas SKV dan AKPK/AKPM tetapi kutipan tidak dilaksanakan sehingga kini.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memulakan dan melaksanakan caj-caj ini bagi SKV dan permit pemindahan mengikut warta tersebut mulai 1 April 2020.

“Aktiviti pemindahan pula meliputi untuk tujuan penyembelihan, perayaan dan adat, pembiakan dan sebagainya,” katanya pada sidang media dekat Ruang Media Menara Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Pengarah JPV Negeri Pulau Pinang, Dr. Anun Man.

Mengulas lanjut, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menjelaskan bahawa kadar bayaran tersebut dilihat lebih adil serta memberikan kesan sama rata kepada penternak secara kecil-kecilan dan komersial.

“Kita laksanakan caj ini selepas mengambil kira keadaan semasa supaya lebih adil terutamanya dalam kalangan penternak sendiri… didapati penternak kecil membayar harga yang sama dengan penternak besar,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa penternak yang gagal mendapatkan SKV dan AKPK/AKPM boleh dikenakan tindakan.

“Ternakan mereka akan dirampas dan kenderaan ternakan akan dilelong selain dikenakan denda,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS