Pelaksanaan PKP 3.0, Kerajaan Negeri peruntuk kira-kira RM500,000 agih 10,000 bakul makanan

Admin

BATU MAUNG – Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM550,000 untuk mengagihkan 10,000 bakul makanan di kesemua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, pihaknya menerima kira-kira 200 bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat yang terkesan dek pelaksanaan PKP 3.0 tersebut.

Jelasnya, bantuan bakul makanan daripada Kerajaan Negeri tersebut sememangnya sangat membantu keluarga yang memerlukan memandangkan di KADUN Batu Maung sahaja hampir 50 peratus penduduknya tinggal di rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) yang rata-ratanya berpendapatan bawah RM2,000.

“Itu belum masuk lagi mereka yang tinggal di kampung yang terdiri daripada golongan nelayan, ibu tunggal, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ZPP (Zakat Pulau Pinang).

“Bantuan ini sememangnya membantu meningkatkan jumlah bantuan sedia ada kepada penduduk di sekitar kawasan Batu Maung, selain bantuan daripada saya (Pusat Khidmat Batu Maung) melalui peruntukan ADUN.

“Sepanjang PKP 3.0 ini sahaja sekitar 1,500 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk terkesan terutamanya keluarga yang betul-betul memerlukan,” ujarnya yang melahirkan rasa syukur ekoran inisiatif Pusat Khidmatnya mengumpul data penduduk sejak beberapa tahun lalu amat membantu penyerahan bantuan dilaksanakan dengan efisien.

Difahamkan bahawa, setiap bakul makanan yang disumbangkan Kerajaan Negeri bernilai kira-kira RM50 mengandungi kira-kira 14 makanan keperluan asas.

Beliau yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan sebelum itu bersama-sama beberapa sukarelawan yang terdiri daripada golongan ibu dan kakitangan Pusat Khidmat Batu Maung ditemui ketika sedang sibuk mengkelaskan sayur-sayuran dan buah-buahan sumbangan Mutiara Food Bank untuk diagihkan kepada penerima.

Menurutnya, sumbangan setiap dua minggu tersebut dapat meringankan beban keluarga memerlukan yang tersenarai sebagai penerima bank makanan.

“Di sini (Batu Maung) sahaja terdapat kira-kira 30 hingga 40 penerima bank makanan, tidak termasuk penerima di MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Bukit Gedung,” ulasnya.


Sebarang permohonan atau bantuan sila hubungi Pusat Khidmat Batu Maung di talian hotline, 012-6515237 atau 04-6261442.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Food Bank, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal ketika ditemui di lokasi sama melahirkan rasa lega ekoran bantuan bakul makanan yang disumbangkan Kerajaan Negeri itu tiba tepat pada masanya.

Jelasnya, ekoran pelaksanaan PKP 3.0 dan serentak dengan kawasan Bayan Lepas yang diletakkan di bawah PKPD (Diperketatkan), maka permintaan terhadap bakul makanan yang diterima Mutiara Food Bank (MFB)amat banyak.

“Disebabkan pelaksanaan PKP3.0 dan PKPD di kawasan Bayan Lepas menyebabkan permintaan terhadap bakul makanan terutamanya makanan kering seperti beras, maggi, bihun, sardin dan sebagainya meningkat mendadak sehingga menyebabkan MFB kekurangan bekalan ketika itu.

“Alhamdulillah, daripada 10,000 bakul makanan yang diperuntukkan kepada setiap KADUN, MFB menerima 700 bakul makanan yang sama untuk kita agihkan kepada masyarakat terkesan.

“Sumbangan tersebut sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan stok bekalan makanan kering di MFB, walaupun pada dasarnya kita banyak menerima sumbangan syarikat-syarikat korporat yang melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

“Namun, pada ketika ini sememangnya permintaan sangat tinggi terutamanya dalam kalangan penerima zakat dan asnaf,” jelas beliau.

Beralih kepada sumbangan bank makanan yang diterajui MFB, Muhammad Zakwan menjelaskan sehingga kini terdapat 17 KADUN dan 82 MPKK di seluruh Pulau Pinang terlibat sama.

“Disebabkan permintaan yang meningkat mendadak, maka MFB untuk fasa ini akan fokus kepada permohonan terus yang dibuat oleh pemohon.

“Sebarang permohonan boleh disalurkan melalui e-mel [email protected] atau telefon ke 04-2189654 atau hubungi Puan Jasniza di talian 012-4412280,” tambah beliau.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF