GEORGE TOWN – Pulau Pinang telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 85 peratus bagi pelaksanaan program dan projek di bawah Pelan Tindakan Strategik Age-Friendly City Penang Island (AFCPI) sehingga akhir tahun 2025.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa pencapaian tersebut melibatkan pelaksanaan indikator prestasi utama (KPI) berdasarkan lapan domain yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi inisiatif Bandar Mesra Usia.
Beliau berkata demikian semasa menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee mengenai peranan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dalam memastikan akauntabiliti serta tindakan konkrit terhadap pihak pelaksana.
“Antara domain yang merekodkan pencapaian tertinggi ialah Domain Perumahan, Penyertaan Sosial serta Sokongan Komuniti dan Perkhidmatan Kesihatan yang masing-masing mencapai 100 peratus.
“Bagi Domain Ruang Luar dan Bangunan pula, tahap pencapaian adalah sebanyak 89.3 peratus menerusi pelbagai usaha menaik taraf taman dan ruang awam supaya lebih mesra warga emas.
“Seterusnya, bagi Domain Pengangkutan, pencapaian adalah sebanyak 88.6 peratus termasuk penambahbaikan armada bas serta penyediaan subsidi pengangkutan kepada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika menjawab soalan berkaitan pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini.
Mengulas lanjut, Siew Khim turut menyatakan bahawa Domain Hormat dan Inklusi Sosial kini merekodkan pencapaian sebanyak 65.7 peratus manakala Domain Penyertaan Sivik dan Pekerjaan mencapai 70 peratus menerusi pelbagai inisiatif melibatkan warga emas.
“Selain itu, Domain Komunikasi dan Maklumat pula mencatat pencapaian sebanyak 62.9 peratus melalui usaha memodenkan saluran komunikasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya lebih mudah diakses oleh semua lapisan umur,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Siew Khim turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang turut menerima pengesahan “Completion of Cycle 1” daripada WHO sekali gus menjadikan MBPP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang berjaya mencapai status berkenaan.
Menjawab soalan tambahan, Siew Khim menyatakan bahawa bahawa PWDC memainkan peranan sebagai penyelaras dengan bekerjasama rapat bersama MBPP bagi memastikan tindakan intervensi dan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara lebih efektif.
“PWDC turut melaksanakan pemantauan dan penilaian berkala terhadap setiap domain selain mengenal pasti jurang pelaksanaan secara terperinci.
“Segala kelemahan yang dikenal pasti akan dibincangkan bersama agensi pelaksana bagi tujuan penambahbaikan sebelum disusun mengikut keutamaan untuk dimasukkan dalam Pelan Tindakan Strategik Kitaran Dua,” jelasnya yang merupakan ADUN Sungai Pinang.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN