GEORGE TOWN – Pelan Pengurusan Trafik atau Traffic Management Plan (TMP) terperinci bagi mengurangkan impak kesesakan lalu lintas susulan pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara telah diluluskan pada 14 Oktober 2025 dan sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, TMP terperinci yang disediakan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRTC) telah disyaratkan supaya menyediakan pelan mitigasi pengurusan trafik di setiap lokasi stesen dari George Town hingga ke Permatang Damar Laut.
“Pelaksanaan TMP dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030 yang mana kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Januari 2026.
Kerja-kerja pembinaan ini akan diteruskan seperti dirancang termasuk sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina pada bulan Februari nanti dan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mac.
“Kerja-kerja pembinaan ini tidak dapat ditangguhkan setelah mengambil kira jadual pembinaan yang sangat padat bagi mencapai sasaran penyiapan projek pada Disember 2031,” ujarnya.
Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berhubung kerja-kerja pembinaan projek tersebut pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 18 November 2025.
Dalam soalan yang dikemukakan, Guan Eng menyoal sama ada kerja-kerja pembinaan tersebut boleh ditangguhkan sehingga selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga menyatakan bahawa sebarang kelewatan dalam mencapai sasaran penyiapan akan mencetus klausa denda seperti termaktub dalam kontrak.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan TMP pada musim perayaan akan disusun agar tidak menjejaskan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya dalam menghadapi peningkatan trafik pada musim perayaan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan dari masa ke masa merujuk laman web dan media sosial Projek LRT Laluan Mutiara untuk maklumat TMP serta pengumuman trafik terkini.
“Selain itu, pengguna jalan raya boleh menyemak aplikasi navigasi seperti Waze untuk mendapatkan maklumat trafik masa nyata bagi merancang perjalanan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kerja-kerja pembinaan yang bakal dilaksanakan pada Januari hadapan masih tidak melibatkan sebarang penutupan jalan.
Menjawab soalan tambahan daripada Guan Eng selepas itu, Zairil memaklumkan bahawa sesi taklimat TMP akan dilaksanakan kepada semua ADUN berkaitan termasuk Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan.
Terdahulu, Zairil memberitahu Ahli Dewan bahawa kerja-kerja pembinaan telah bermula secara rasmi sejak Kontraktor Pakej Sivil Utama 1 (CMC1) iaitu SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) menerima Notis Mula Kerja pada 15 Julai 2025.
Manakala pihak MRTC selaku pemaju dan pemilik aset projek yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan pada April 2024 telah menyediakan laluan alternatif dan pengalihan trafik sebagai sebahagian pelaksanaan TMP, yang mana ia juga akan disemak serta ditambah baik secara bulanan bagi perancangan masa hadapan.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN