Pelancong asing inap hotel Pulau Pinang meningkat, 5.58 juta orang

Admin
WONG Hon Wai

GEORGE TOWN – Jumlah pelancong asing yang direkodkan menginap di negeri Pulau Pinang pada tahun 2022 melonjak seramai 5.58 juta berbanding 1.32 juta orang pada tahun sebelumnya.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata demikian semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-15 di sini pada 29 November 2023.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong itu lagi, jumlah kemasukan penumpang antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas juga menyaksikan peningkatan iaitu seramai 629,476 orang pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk mewujudkan lokasi pelancongan baharu seperti i Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dan Gurney Bay.

Tambah Hon Wai, Gurney Bay akan menjadi ‘Iconic Waterfront Destination’ dengan cadangan konsep pelan induk yang merangkumi empat tarikan utama iaitu ‘Seaside Retail F&B’, ‘Water Gardens’, ‘Beach’ dan ‘Coastal Grove’.

“Projek tersebut yang dianggarkan bernilai RM221.0 juta akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2025,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN