GEORGE TOWN – Sektor perhotelan negara, termasuk di Pulau Pinang, terus menunjukkan daya tahan yang kukuh apabila kadar penginapan hotel dilaporkan melonjak antara 90 hingga 100 peratus sepanjang musim cuti sekolah dan cuti panjang baru-baru ini.
Lonjakan memberangsangkan itu didorong oleh permintaan tinggi dalam segmen pelancongan domestik apabila rakyat tempatan mengambil peluang untuk bercuti dalam negara, termasuk memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan.
Trend positif tersebut bukan sahaja dirasai di Malaysia, malah destinasi pelancongan popular serantau seperti Hatyai, Thailand turut mencatatkan kadar penginapan yang hampir penuh.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Datuk Tony Goh berkata, pasaran domestik kekal menjadi tunjang utama yang menyokong kelangsungan industri perhotelan, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti umum.
Menurut beliau, kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan tempahan bilik hotel ketika ini disumbangkan oleh pelancong tempatan.
Beliau turut mendedahkan bahawa meskipun terdapat kebimbangan awal mengenai tekanan kos dan harga, trend tempahan saat akhir (last-minute booking) terus menunjukkan prestasi memberangsangkan, sekali gus membantu hotel mengekalkan kadar penghunian yang stabil.
Selain pelancongan domestik, Tony berkata bahawa industri perhotelan turut mendapat manfaat daripada penganjuran program rasmi kerajaan serta aktiviti pelancongan korporat yang terus menjadi pemacu penting kepada permintaan pasaran.
Dalam pada itu, peningkatan ketibaan pelancong dari China turut memberikan impak positif dan menyokong pemulihan sektor pelancongan antarabangsa negara.
Mengulas situasi semasa industri, beliau berkata walaupun pasaran sebelum ini berdepan sentimen berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik di Timur Tengah, daya perbelanjaan pengguna dilihat kekal berdaya tahan.
“Walaupun industri perhotelan belum berada pada tahap pertumbuhan luar biasa, prestasi semasa yang stabil sekurang-kurangnya memberikan ruang bernafas yang amat diperlukan oleh para pengusaha hotel untuk terus beroperasi dan berkembang,” katanya.
Gambar: LAW SUUN TING