Pelitup muka, Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya-upaya

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini sedang berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan bekalan pelitup muka bagi kegunaan rakyat negeri Pulau Pinang.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam satu siaran langsung menerusi laman peribadi Facebook beliau di Komtar hari ini tadi.

“Walaupun Kerajaan Pusat telah memberikan maklum balas mengenai pelitup muka, Kerajaan Negeri juga akan berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan bekalan pelitup muka bagi kegunaan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang.

“Saya akan memaklumkan kepada semua dengan serta-merta sekiranya kami (Kerajaan Negeri) berjaya memperoleh bekalan (pelitup muka) tersebut.

“Buat masa kini, saya menyeru supaya semua terus kekal duduk di rumah dan kurangkan pergerakan keluar rumah,” serunya pada mesej yang disampaikan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari keempat hari ini.

Mengulas mengenai maklum balas kesesakan di pasar-pasar awam sekitar bahagian pulau Negeri pagi ini, Kon Yeow menyatakan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebentar tadi telah mengumumkan bahawa gerai-gerai penjaja (termasuk penjaja makanan) tepi jalan akan ditutup mulai esok (22 Mac 2020).

“Perniagaan di luar kawasan pasar membabitkan Pasar Awam Air Itam; Pasar Awam Bayan Baru; Pasar Awam Jalan Perak dan Pasar Awam Jelutong akan dihentikan bermula esok. Bagi Pasar Awam Jelutong, hanya gerai sayur dibenarkan ekoran ketiadaan gerai jualan berkaitan di dalam premis pasar.

“Tindakan ini adalah bagi menggelakkan orang ramai daripada berkerumun dan berkumpul di lokasi-lokasi berkaitan,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika mengulas mengenai intipati mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri semalam, beberapa keputusan telah dicapai iaitu:

(i) Ketua Menteri dan Menteri Besar bagi setiap negeri dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang akan bertindak sebagai jawatankuasa utama bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di peringkat negeri.

(ii) YAB Perdana Menteri bersetuju bahawa semua kilang yang tidak berada dalam kategori perkhidmatan penting (essential services) perlu ditutup mengikut Perintah Kawalan Pergerakan.

Justeru, Kerajaan Negeri menyeru agar kilang yang tidak berada di dalam senarai berkaitan supaya mengambil langkah perlu demi keselamatan semua dan sekiranya perlu. Ini kerana, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan ini.

(iii) Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan bahawa mereka telah membuat persiapan untuk memastikan bekalan peralatan perubatan adalah mencukupi.

(iv) Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memastikan kilang-kilang tempatan dapat membekalkan pelitup muka atau face mask dengan secukupnya memandangkan kini sudah ada sekatan eksport terhadap barangan berkenaan. Kerajaan Pusat juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada pembekal dari Negara China berhubung perkara yang sama.

Serentak itu, Kon Yeow memberitahu bahawa bagi mendapatkan situasi semasa berkenaan COVID-19 di Pulau Pinang, orang ramai boleh dapatkan maklumat lanjut melalui Facebook rasmi Ketua Menteri, https://www.facebook.com/ChowKonYeow/ atau laman kempen Penang Lawan COVID-19, www.facebook.com/penanglawancovid19 atau menerusi laman web www.PenangLawanCovid19.com.

“Malah, umum juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Special Task Force COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang di talian Hotline, 04 – 262 1207 / 04 – 262 1819 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

“Sebagai Ketua Menteri, saya ingin ulangi bahawa saya tidak akan membenarkan rakyat Pulau Pinang diancam oleh wabak ini dengan tidak mengambil tindakan tegas.

“Penang Lawan COVID-19!’’ tegas beliau.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI