GEORGE TOWN – Projek pembinaan Kereta Kabel Bukit Bendera kini mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 32 peratus, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat menerusi lawatan pemantauan dari kawasan Kebun Bunga sehingga ke puncak Bukit Bendera hari ini, termasuk menyaksikan pemasangan menara ketiga projek berkenaan.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat daripada pasukan pelaksana projek, kerja-kerja fizikal dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Ogos 2027, manakala operasi kereta kabel berkenaan disasarkan bermula pada suku keempat tahun yang sama.
“Ini merupakan projek yang dinanti-nantikan oleh warga Pulau Pinang setelah kerja-kerja di tapak mula dilaksanakan pada Januari 2025.
“Kita faham pada tempoh permulaan, kerja-kerja di bawah tanah menghadapi beberapa kekangan, namun syukur pada hari ini kita dapat menyaksikan kesemua kerja-kerja bawah tanah telah disempurnakan dan kini projek memasuki fasa pembinaan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Kereta Kabel Bukit Bendera di sini sebentar tadi.




Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Dato’ Cheok Lay Leng; Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma Sdn. Bhd. Tan Sri Ravindran Menon; Pengarah Projek, Mohamed Rizal Sapari dan wakil-wakil berkaitan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kemajuan projek dijangka dapat dipertingkatkan selepas memasuki fasa pembinaan di atas tanah kerana kerja-kerja tersebut lebih mudah dikawal berbanding kerja-kerja di bawah tanah.

Menurut beliau, keadaan geologi di Pulau Pinang, khususnya di kawasan Bukit Bendera, turut menjadikan kerja-kerja bawah tanah lebih mencabar selain tertakluk kepada syarat teknikal yang ketat.
“Di Bukit Bendera, mereka tidak dibenarkan menggunakan jentera berat untuk menjalankan kerja-kerja bawah tanah.
“Oleh itu, mereka perlu melaksanakan kerja secara manual menggunakan peralatan tangan dan ini sememangnya memerlukan kesabaran.
“Apa pun, kita sudah melangkah ke satu fasa yang lebih menarik.
“Setelah menara dinaikkan, kita mahu menghantar mesej keyakinan kepada rakyat bahawa projek ini berjalan dengan baik walaupun terdapat kelewatan pada peringkat awal,” katanya.
Sementara itu, Ravindran berkata, pencapaian peringkat struktur projek Kereta Kabel Bukit Bendera menandakan satu perubahan besar dalam operasi pembinaan apabila projek berkenaan kini beralih daripada kerja-kerja asas bawah tanah yang kompleks kepada fasa pembinaan secara menegak.
Menurutnya, penguasaan terhadap bentuk muka bumi lereng bukit yang curam dan semula jadi memerlukan ketahanan serta kecekapan teknikal yang tinggi bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan pembangunan kereta kabel berkonsepkan pengalaman ikonik yang pertama di Pulau Pinang dan komitmen terhadap kelestarian menjadi keutamaan memandangkan lokasinya berada dalam kawasan Rizab Biosfera UNESCO.
“Pembangunan yang bertanggungjawab dalam kawasan Rizab Biosfera UNESCO memerlukan pelaksanaan yang teliti serta berimpak rendah terhadap alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, aspek ketepatan dan kualiti pelaksanaan kekal menjadi keutamaan tanpa sebarang kompromi.
“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa projek ini berada pada landasan yang tepat dan mengikut kemajuan yang sepatutnya bagi fasa ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Bukit Bendera dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kerjasama erat yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama kukuh di tapak pembinaan juga perlu diterjemahkan melalui penyampaian maklumat awam yang selaras dan bersepadu bagi memastikan kepercayaan orang ramai terus terpelihara.
“Dengan terus menyampaikan maklumat melalui satu suara yang selaras dan seiring, kita dapat memastikan penduduk Pulau Pinang menerima maklumat yang tepat serta kekal yakin sepenuhnya terhadap kemajuan projek ini.
“Hartasuma melihat pembangunan ini jauh lebih daripada sekadar satu jaringan pengangkutan berfungsi, sebaliknya merupakan satu ekosistem yang direka bentuk bagi menyepadukan manusia, tempat dan mobiliti,” katanya.
Terdahulu, Kon Yeow dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri diberikan taklimat keselamatan dan perkembangan projek sebelum dibawa meninjau kerja-kerja pembinaan semasa di tapak.





Kereta Kabel Bukit Bendera merupakan salah satu projek infrastruktur pelancongan penting Kerajaan Negeri bagi meningkatkan akses ke kawasan peranginan Bukit Bendera, di samping menawarkan pengalaman pengangkutan yang lebih moden dan menarik kepada penduduk serta pelancong.
Projek berkenaan menghubungkan Stesen Lower Ground di kawasan Taman Botani, Kebun Bunga dengan Stesen Upper Ground di Bukit Bendera, sekali gus menyediakan pilihan alternatif kepada sistem funikular sedia ada untuk ke puncak Bukit Bendera.
Terdahulu, syarikat gerabak dan perkhidmatan rel bersepadu terkemuka Hartasuma Sdn. Bhd. memenangi projek kereta kabel itu dengan pelaburan RM250 juta yang dibuat menerusi inisiatif perkongsian awam swasta dengan kerajaan Pulau Pinang.



Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN