Pemantauan cerun, kawasan berisiko tanah runtuh dilakukan secara berkala

Admin
whatsapp image 2025 09 19 at 12.33.43 (2)

GEORGE TOWN – Pemantauan cerun dan kawasan bukit yang berisiko berlaku tanah runtuh di seluruh kawasan pulau telah dijalankan secara berkala oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa data yang diperoleh hasil daripada pemantauan tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada pihak-pihak berwajib termasuk pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.

“JKR Pulau Pinang mempunyai unit yang berkaitan iaitu Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR, manakala di pihak MBPP, kita ada Bahagian Geotech yang sangat prihatin terhadap isu-isu berkaitan cerun, bukit dan sebagainya.

“Antara pemantauan berkala yang dilakukan oleh MBPP adalah dengan tidak membenarkan aktiviti pertanian dijalankan di kawasan berbukit kerana aktiviti seperti ini kebanyakanya melibatkan kerja-kerja tanah di cerun-cerun bukit sekali gus membawa risiko tersendiri.

“Sekiranya ada permohonan, MBPP akan memastikan laluan air semula jadi tidak dihalang oleh apa-apa struktur dan mematuhi Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian Di kawasan Berbukit.

“Di Bukit Bendera dan lain-lain, kita ada pasukan pemantauan di samping garis panduan iaitu Penang Safety Hill Land For Development 2020 serta lain-lain lagi,” katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Berhubung insiden banjir kilat dan tanah lumpur di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam baru-baru ini, Kon Yeow menjelaskan bahawa kejadian itu adalah berpunca daripada kerja-kerja tanah yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Keadaan ini telah memberikan impak kepada lebih 50 rumah di sekitar tapak pembinaan.

“Oleh itu, perintah henti kerja serta-merta telah dikenakan kepada pemaju sehingga mereka melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera ke atas parit, jalan dan kediaman yang terjejas.

“Walau bagaimanapun, insiden ini tidak menggambarkan kegagalan mana-mana projek tebatan banjir (RTB) yang telah dilaksanakan di negeri ini sebagaimana tuduhan pihak-pihak tertentu kerana ia melibatkan satu tapak pembinaan yang mungkin kurang dari segi tindakan mitigasi sekiranya berlaku banjir,” jelasnya.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengarahkan sebuah syarikat pemaju projek perumahan untuk menghentikan kerja serta-merta di tapak susulan insiden banjir kilat dan tanah lumpur di Taman Guar Perahu pada 16 September lalu.

MBSP memaklumkan bahawa Notis henti kerja itu dikeluarkan pada 17 September 2025 kepada pemaju bagi projek pembangunan di Lot PT 63 (Lot 3509), Mukim 20 setelah didapati berlaku pelanggaran syarat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Kerja Tanah (Majlis Perbandaran Seberang Perai) 1992.

Selain itu, MBSP juga telah mengarahkan pemaju supaya mengemukakan pelan mitigasi kerja tanah terkini bagi kelulusan MBSP termasuk cadangan pembesaran kolam mendapan dan pembinaan parit tanah.

Pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan kerja pembersihan segera ke atas parit, jalan dan kediaman yang terjejas selain memasang “hoarding” di kawasan yang belum dilengkapi dengan tembok pengadang serta melaksanakan kerja mitigasi yang dicadangkan serta-merta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING