Pemantauan di ladang elak risiko ASF – Dr. Norlela

Admin
DR. Norlela Ariffin

GEORGE TOWN – Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata pihak berkuasa negeri Pulau Pinang akan terus melaksanakan langkah pemantauan berwajib demi memastikan kes positif Demam Babi Afrika (ASF) membabitkan dua ladang di Krian, Perak tidak merebak ke negeri ini.

“Dua ladang positif ASF di Krian, Perak hanya 15 kilometer (km) dari Valdor (di negeri Pulau Pinang).

“Untuk menghalang jangkitan ASF dari masuk ke Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang (Dr. Saira Banu Mohamed Rejab) telah beri laporan tindakan pada pagi tadi,” jelasnya dalam kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara di sini pada 26 September 2022.

Mengulas lanjut, Dr. Norlela memberitahu bahawa terdapat ladang di negeri Pulau Pinang diarahkan tutup selama seminggu kerana mempunyai kontak rapat dengan lori yang membawa babi positif ASF di negeri Perak.

Di samping itu, beliau berharap langkah pencegahan lain seperti pewartaan larangan membawa masuk babi dari luar negeri ke Pulau Pinang sejak bulan Jun lepas akan meningkatkan lagi daya tahan sektor keselamatan makanan di negeri ini.

“Yang ini persediaan yang JPV buat… kami ambil semua tindakan dengan kerjasama penternak supaya tak merebak ke Pulau Pinang, insya-Allah.

“Saya, YB Phee Boon Poh (Exco Alam Sekitar dan Kebajikan), Pengarah JPV dan Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang selalu pantau dan kongsi maklumat melalui ‘whatsaap group ASF’.

“Dengan keselamatan biologi ladang yang kuat, moga-moga tidak ada (ASF) di negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB