GEORGE TOWN – Sehingga kini, sebanyak 322 unit Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB), termasuk 254 unit milik persendirian, telah dipasang dan beroperasi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan komited meningkatkan jumlah pemasangan EVCB kepada 422 unit menjelang hujung tahun ini.
“MBPP komited untuk memenuhi sasaran yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan,” jelasnya pada sidang media di Stesen EVCB McDonald’s Persiaran Karpal Singh, Bandar Sungai Pinang di sini pada 18 September 2025.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong.
Difahamkan, sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan cadangan pemasangan 600 unit EVCB, termasuk 300 unit di kawasan pentadbiran MBPP, selaras dengan sasaran Kerajaan Persekutuan untuk memasang 10,000 unit EVCB di seluruh negara.
Susulan itu, MBPP memulakan proses Request for Proposal (RFP) bagi Fasa 1, melibatkan pemasangan 50 unit pengecas arus terus (DC) berkapasiti 60 kilowatt (kW) dan dua unit pengecas pantas arus ulang-alik (AC) berkapasiti 22 kW.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, semua 52 ikut EVCB di bawah fasa tersebut telah siap dipasang di tapak pada Januari tahun ini.
“Sebanyak 48 unit EVCB siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada April 2025, manakala baki empat unit sedang menunggu tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk penyambungan bekalan elektrik.
“Kesemua bayaran penggunaan EVCB ini boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi Pearl 2.0 dan aplikasi ChargeSini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Berhubung Fasa 2 projek pemasangan EVCB pula, Mooi Lye memaklumkan MBPP berhasrat memasang 106 unit EVCB di 27 lokasi dengan projek itu dijangka siap pada Disember 2025.
“Bilangan EVCB yang telah siap dan beroperasi bagi Fasa 2 (setakat ini) berjumlah 10 unit,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa MBPK akan menukar beberapa tapak letak kenderaan (TLK) sedia ada kepada EVCB, termasuk TLK di kawasan kompleks MBPP dan tempat letak kenderaan tepi jalan (on-street parking).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD