Pemasangan WSD sebagai langkah strategik penjimatan air secara ‘automatik’ – Jaseni

GEORGE TOWN – Pemasangan alat peranti penjimatan air atau water saving devices (WSD) bagi semua projek pembangunan baharu di Pulau Pinang dilihat sebagai langkah strategik penjimatan air secara ‘automatik’.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, langkah tersebut adalah bagi menyokong dasar ‘Tiada Catuan Air’ di Pulau Pinang sekaligus dapat mengurangkan penggunaan air terutama ketika musim kemarau.

Menurutnya, WSD direka betuk bagi menjimatkan penggunaan air secara automatik tanpa memerlukan penguna mengubah gaya hidup harian.

“Penggunaan basin, bilik mandi dan tandas tetap sama, cuma penggunaan air dikurangkan dengan setiap penggunaan.

“PBAPP telah memasang pelbagai jenis WSD di bangunannya sejak tahun 2012, dan mendapati WSD dapat mengurangkan penggunaan air dengan berkesan antara 14 peratus hingga 87 peratus.

“(Dan) pemasangan WSD diakui sebagai salah satu langkah pemuliharaan air yang paling berkesan di seluruh dunia,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 30 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, PBAPP telah mengemukakan cadangan rasmi tersebut kepada Kerajaan Negeri pada 20 Oktober 2017 dan memohon pindaan kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (Negeri Pulau Pinang) 1986 untuk menjadikannya sebagai mandatori bagi pemaju untuk projek pembangunan baharu.

“Berikutan pindaan undang-undang kecil ini, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kemudiannya akan menguatkuasakan peraturan ini secara besar-besaran untuk jangka masa panjang di negeri ini.

“Rasionalnya (pemasangan WSD), Pulau Pinang adalah negeri yang kekurangan air dan hanya satu sumber air mentah utama iaitu Sungai Muda dan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan Ulu Muda, Kedah telah menjejaskan kuantiti serta kualiti air di Sungai Muda.

“Tambahan pula, Kerajaan Persekutuan telah menangguhkan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), dan ini meningkatkan risiko kekurangan air setiap tahun dengan perubahan iklim yang memberi kesan terhadap ketersediaan air mentah dari Sungai Muda dan empangan-empangan di Pulau Pinang,” jelasnya yang turut berhasrat mengurangkan penggunaan domestik per kapita negeri yang mencatatkan 286 liter per kapita per hari (l/k/h) berbanding purata kebangsaan 209 l/k/h.