TELUK BAHANG — Agenda pembangunan pelancongan di Pulau Pinang tidak boleh dipisahkan daripada usaha konservasi alam semula jadi bagi memastikan khazanah biodiversiti negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan perkara itu sebelum menyempurna acara pelepasan anak penyu dari Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut di sini pada 15 Mei 2026.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikaso turut memberitahu bahawa penyu merupakan ‘permata alam’ yang mempunyai nilai ekologi, pendidikan dan pelancongan yang amat tinggi, sekali gus memperkukuh agenda eko-pelancongan Pulau Pinang.
“Taman Negara Pulau Pinang, khususnya Pantai Kerachut, mempunyai potensi besar sebagai aset eko-pelancongan bertaraf antarabangsa kerana keunikan konservasi penyu yang terdapat di sini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.


Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol yang juga ADUN Sungai Acheh; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Wan Nor Sakina Saad turut sertai sidang media bersama-sama Kon Yeow.
Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; ADUN Teluk Bahang, Muhammad Kassim; ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali; Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin dan Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan PerikananPejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Adi Syarqawi Shaefe.

Buletin Mutiara diberitahu, Jabatan Perikanan Malaysia melalui Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut sejak tahun 1995 melakukan kerja-kerja konservasi berkaitan habitat penyu.
Hasil usaha yang dilakukan di pusat itu, sebanyak 273 pendaratan ibu penyu direkodkan dengan 15,822 ekor anak penyu berjaya ditetaskan dan dilepaskan.
Tahun kemuncak adalah 2023 dengan catatan pendaratan tertinggi iaitu sebanyak 79 kali dengan 5,168 ekor anak penyu menetas.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Pantai Teluk Bahang, Teluk Ketapang, Pantai Kerachut dan Teluk Kampi kekal sebagai lokasi utama pendaratan penyu jenis Agar dan Lipas.
Beliau turut menjelaskan bahawa statistik pelawat ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Ini, membuktikan bahawa konservasi alam sekitar mampu menjadi pemacu sektor eko-pelancongan negeri,” ujarnya.
Sepanjang tempoh tahun 2021 hingga April 2026, beliau berkata bahawa laporan statistik berkaitan merekodkan seramai 109,351 pelawat tempatan, pelawat antarabangsa (44,951 orang pelawat), yang mana membawa jumlah keseluruhan pelawat mencecah 154,302 orang.
“Tahun 2025 mencatatkan jumlah pelawat tertinggi apabila seramai 27,771 pelawat tempatan direkodkan, seramai 15,273 pelawat antarabangsa hadir, dan (membawa) jumlah keseluruhan pelawat mencapai 43,044 orang.
“Peningkatan jumlah pelawat ini membuktikan bahawa usaha konservasi bukan sahaja penting dari sudut pemuliharaan biodiversiti, malah mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi setempat,” ulasnya lanjut.
Walaupun mencapai kejayaan, Kon Yeow mengakui bahawa terdapat cabaran besar seperti pencemaran laut, gangguan aktiviti manusia dan pembangunan pesisir pantai yang tidak terkawal.
Sebagai tanda komitmen, tambah beliau, Kerajaan Negeri menyediakan empat Pembantu Khidmat Am untuk bertugas di pusat konservasi bagi memastikan operasi pemuliharaan berjalan sistematik.
“Penyu mungkin tidak mampu berkata-kata, namun melalui usaha inilah kita membuktikan Pulau Pinang mempunyai rasa tanggungjawab tinggi dalam memelihara permata alam yang tidak ternilai ini,” katanya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING