Pembangunan pesat Batu Kawan beri manfaat kepada rakyat dan negeri – Kon Yeow

Admin
Chow Kon Yeow menerima memorandum daripada penternak semasa sesi dialog bersama Persatuan PENKUA sebentar tadi.

BUKIT TAMBUN – Kawasan Batu Kawan mengalami pembangunan luar biasa sejak sedekad lalu yang telah memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang.

Calon bagi Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow berkata bahawa Batu Kawan telah berkembang maju dan menjadi lokasi pelbagai industri merangkumi pembuatan, akuakultur, industri makanan dan banyak lagi.

“Selain itu, Batu Kawan juga menempatkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), logistik serta rantaian bekalan yang menerima manfaat daripada pembangunan industri.

Berswafoto bersama ahli-ahli Persatuan PENKUA.

“Kawasan Parlimen Batu Kawan sangat luas dan kita telah melihat satu transformasi yang sangat hebat di sini sepanjang tempoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi dialog bersama-sama Persatuan Penternak Akuakuktur Pulau Pinang (PENKUA), penternak dan pihak-pihak berkaitan industri penternakan di Seberang Perai.

Sesi dialog tersebut dianjurkan sempena hari kelima kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun dalam Parlimen Batu Kawan bagi mendengar segala permasalahan yang dihadapi oleh penternak-penternak di kawasan berkenaan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pengerusi PENKUA, Datuk Goh Cheng Liang.

Mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata bahawa sektor penternakan ikan sangkar dan kolam laut adalah satu sektor yang penting khususnya di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Hasil daripada aktiviti penternakan di SPS boleh dikatakan menduduki tempat teratas dalam kalangan sektor penternakan di seluruh negara walaupun Pulau Pinang merupakan negeri yang begitu kecil,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa masalah pencemaran air di perairan penternakan juga menjadi isu yang sering dibangkitkan oleh penternak-penternak di Seberang Perai.

Persatuan PENKUA menyerahkan memorandum  berkaitan masalah dihadapi penternak Seberang Perai kepada Chow Kon Yeow.

“Kita mendapati bahawa syarikat konsesi yang dilantik untuk menguruskan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung mempunyai prestasi yang kurang memuaskan sehingga pada awal tahun ini khidmat syarikat konsesi itu telah ditamatkan.

“Kini, perkhidmatan itu diambil alih oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sementara mengadakan tender baharu bagi melantik syarikat yang boleh menguruskan tapak pelupusan dan dapat menangani masalah secara teknikal dan saintifik.

“Selain itu, hasil daripada libat urus pihak berkepentingan dengan penternak-penternak yang diadakan, kita melihat inisiatif baru boleh diambil dengan menerokai kawasan-kawasan baru supaya kawasan sedia ada yang mungkin memghadapi isu pencemaran dapat ditangani dengan berkesan,” ulasnya.

Mengulas berkaitan isu kesesakan lalu lintas yang dibangkitkan oleh pihak persatuan, Kon Yeow berkata bahawa isu sememangnya memerlukan penyelesaian secara holistik.

Chow Kon Yeo menerima kata-kata semangat daripada penduduk setempat semasa acara jerayawara di Pasar Malam Perkampungan Juru di sini.

“Perlu ada satu kajian yang menyeluruh dan cadangan penyelesaian-penyelesaian yang boleh menyuraikan dan melancarkan trafik di kawasan ini.

“Saya percaya projek yang sedang dibincangkan ketika ini dapat dilaksanakan dalam sedikit masa lagi… mungkin mengambil masa satu atau dua tahun untuk siap dan ia akan menjadi satu lagi alternatif.

“Namun begitu, butiran terperinci mengenai perkara itu hanya akan diumumkan selepas PRU nanti,” katanya sambil menambah bahawa semua isu yang diterima semasa tempoh kempen akan dilihat dengan lebih serius oleh Kerajaan Negeri.

Dalam program berasingan selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa cadangan 18 November ini dijadikan sebagai cuti umum bagi memudahkan pengundi yang bukan rakyat negeri ini untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco.

“Kita akan bincang (dalam mesyuarat) Exco,” responsnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kepada pemberita semasa acara jerayawara di Pasar Malam Perkampungan Juru di sini.

Chow Kon Yeow dan calon Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen Batu Kawan, Tan Lee Huat saling menyantuni semasa acara jerayawara di Pasar Malam Perkampung Juru.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga petang tadi dilaporkan Kerajaan Negeri Selangor menetapkan 18 November ini sebagai cuti umum bagi memudahkan pengundi yang bukan rakyat negeri berkenaan untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.

Hari Membuang Undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah pada 19 November 2022.