Pembangunan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera, PHC mula proses RFP

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) akan memulakan proses Permintaan Cadangan atau Request For Proposal (RFP) bagi menjemput syarikat-syarikat berdaftar yang layak untuk membida pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera.

Proses RFP akan bermula pada 13 Januari sehingga 24 Mei 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PHC berkata bahawa selain perkhidmatan furnikular sedia ada, kereta kabel yang dicadangkan mampu menjadi mod pengangkutan tambahan terutamanya dalam mengurangkan kesesakan pada waktu puncak sekaligus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negeri secara berterusan.

“Kerajaan Negeri meneruskan hasrat pembangunan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera melalui konsep Kerjasama Awam Swasta (PPP) susulan pembatalan peruntukan bernilai RM100 juta oleh Kerajaan Persekutuan pada April 2020.

“Sistem kereta kabel merupakan mod Environmental Sustainable Transport (EST) yang banyak dilaksanakan di taman negara, rizab alam semulajadi dan tapak warisan dunia UNESCO ekoran hanya membabitkan ruangan kecil dan metodologi pembinaan yang mesra alam,” ulasnya pada sidang media pengumuman perkara berkaitan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Datuk Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang); Zairil Khir Johari (Exco Infrastruktur dan Pengangkutan); Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif) serta Dato’ Cheok Lay Leng (Pengurus Besar PHC).

Mengulas lanjut berhubung permohonan PHC untuk mengiktiraf Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera UNESCO di bawah program Man and The Biosphere (MAB), Kon Yeow menjelaskan bahawa segala perancangan dan pembangunan perlu dilakukan secara teliti dan menyeluruh.

“Dengan kata lain, Projek Kereta Kabel Bukit Bendera ini bukan projek persendirian, sebaliknya ia memerlukan banyak pertimbangan serta perbincangan yang perlu dilakukan secara kolektif

“Kajian pra-kebolehlaksanaan (pre-feasibility) serta penilaian menyeluruh telah dijalankan dan terdapat beberapa laluan pilihan untuk pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah diberikan iaitu menerusi Taman Botani, Taman Belia dan Teluk Bahang.

“Bagaimanapun, pencadang (syarikat swasta yang membida) adalah bebas untuk mengemukakan jajaran alternatif yang difikirkan sesuai daripada segi kewangan serta pelaksanaan ketika pembinaannya kelak,” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, kemungkinan juga bangunan parkir bertingkat akan dibina di beberapa lokasi berbeza bergantung kepada jajaran serta lokasi stesen bawah kereta kabel berkenaan.

“Justeru, melalui panggilan RFP ini, diharap pihak swasta dapat membiayai sepenuhnya projek tersebut termasuk fasiliti perkhidmatannya yang mana sebagai timbal balik mereka akan diberikan hak untuk mengendalikan projek ini untuk satu tempoh ditetapkan,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Bercakap pada sidang media sama, Lay Leng ketika menjawab soalan pemberita memberitahu bahawa kos RM100 juta yang dibatalkan tersebut bukannya kos sebenar kerana ia (kos) bergantung kepada jajaran yang akan dibina.

“Diharap pihak swasta dapat mempertimbangkan semua kompenan penting secara menyeluruh, teliti serta ketat.

“Anggaran kos jajaran paling pendek adalah RM150 juta ke atas termasuk pembinaan stesen bawah, stesen atas serta fasilitinya dan juga kaedah metodologi pembinaan yang akan digunakan agar sesuai untuk alam sekitar,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI