Pembangunan sahsiah, modal insan kunci capai Visi Penang2030

Admin
f85fa223 d79b 4407 992b 1e8b763f05b5

GEORGE TOWN – Dalam mengejar pembangunan ekonomi di negeri ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow mahu semua rakyat Pulau Pinang diperkasakan dengan ilmu yang bermanfaat serta sahsiah terpuji.

 

Beliau percaya bahawa pembangunan sahsiah serta modal insan merupakan kunci utama dalam mencapai Visi Penang2030 dan Malaysia Madani.

 

“Oleh itu, saya menaruh harapan yang amat tinggi kepada para penduduk di Kompleks Jalan Kedah supaya tonjolkan peribadi positif serta terapkan nilai-nilai murni dalam mendidik anak-anak yang bakal mewarisi negara kita pada suatu hari nanti.

 

“Sekiranya terdapat sebarang kekangan atau kesusahan, dipersilakan untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian memberikan maklum balas berkaitan hal-hal tersebut ke Pusat Khidmat Padang Kota yang sentiasa terbuka untuk anda semua bagi mendapatkan rujukan serta bantuan yang diperlukan,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah di sini sebentar tadi.

bb3cb9b6 c1ad 41d1 96c1 3cc6ddaa110c

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Pusat Khidmat Padang Kota/Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way; Pengerusi Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Mydin dan penduduk-penduduk setempat.

 

Selain daripada aktiviti berbuka puasa, seramai 15 penerima sumbangan khas daripada golongan asnaf, B40 dan orang kurang upaya (OKU) juga menerima sedikit bantuan duit raya pada majlis sama.

 

“Saya berharap agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam perbelanjaan golongan berkaitan terutamanya di bulan Ramadan ini.

 

“Semoga hubungan yang terjalin pada hari ini dapat terus dikekalkan demi pengukuhan ikatan masyarakat dan negeri yang dicintai ini.

 

“Salam Ramadan Al-Mubarak,” ucapnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZ