Pembangunan semula Pasar Awam Jalan Perak perlu diutamakan

f4f79acd 635e 4806 8274 be1ec8169d0b

BATU LANCANG – Pembangunan semula Pasar Awam Jalan Perak wajar diberi keutamaan susulan keadaan fasiliti awam berusia lebih 70 tahun itu yang kini semakin daif.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pasar berkenaan memerlukan tindakan segera sama ada melalui pembangunan semula atau kerja-kerja naik taraf secara menyeluruh bagi menjamin keselesaan peniaga dan pengunjung.

Menurut beliau, cadangan pembangunan semula pasar bersama tanah bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak telah dibincangkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak kira-kira sedekad lalu menerusi kaedah Permintaan Cadangan (RFP).

“Walaupun sebelum ini pernah ditawarkan (menerusi RFP), namun ia tidak berjaya dilaksanakan dan terkini, saya dimaklumkan bahawa MBPP sedang memanggil RFP yang baharu.

“Memandangkan rancangan ini sudah lama dan keadaannya amat daif, saya minta MBPP segerakan pelaksanaan dan menjadikan pembangunan semula Pasar Awam Jalan Perak ini sebagai satu projek keutamaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus Siri Jelajah CM Chow ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lancang di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Tiong; Ahli Majlis MBPP, Nicholas Theng Jie Wey dan Pengarah Landskap di Jabatan Landskap MBPP, Azizul Fahmi Muhammad.

whatsapp image 2026 08 03 at 12.08.05

Usai tinjauan ke Pasar Awam Jalan Perak, Kon Yeow kemudiannya meneruskan siri jelajah tersebut dengan mengunjungi sebuah kafe tempatan di kawasan Jelutong.

Dalam kunjungan tersebut, beliau memuji usaha pengusaha generasi ketiga perniagaan serbuk kopi tradisional yang berjaya mentransformasikan jenama tempatan kepada sebuah kafe moden berstatus halal dengan lima cawangan setakat ini.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan sentiasa bersedia menjadi rakan strategik kepada pengusaha sektor makanan dan minuman (F&B) tempatan dalam membantu memudah cara pelbagai cabaran industri, termasuk isu tenaga kerja dan sewaan premis.

whatsapp image 2026 08 03 at 12.08.06 (1)

 

Seterusnya, dalam lawatan ke tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Lorong Chemor, beliau memaklumkan bahawa terdapat empat struktur RIBI yang dibina di atas rizab tanah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Maka, bagi mengelakkan risiko banjir dan memastikan penempatan yang lebih teratur, Kerajaan Negeri melalui dasar baharu membenarkan penggunaan tanah lapang berdekatan (melalui Permit Pendudukan Sementara, TOL) untuk tempoh 10 hingga 20 tahun tertakluk kepada permohonan.

“Langkah ini bagi membolehkan RIBI berkaitan dipindahkan ke tapak baharu yang lebih bersesuaian,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Sebagai penutup siri jelajah berkenaan, Kon Yeow turut meninjau tapak tanah lapang di Lorong Jelutong yang terletak dalam kawasan penempatan berusia lebih 50 tahun.

Menurut Kon Yeow, tanah lapang seluas kira-kira 3,000 meter persegi berhampiran rizab sungai itu sebelum ini telah diceroboh dan didirikan beberapa struktur tanpa kebenaran.

“Walau bagaimanapun, hasil rundingan berterusan yang diusahakan oleh ADUN Batu Lancang, pihak yang menduduki kawasan tersebut bersetuju berpindah secara sukarela.

Kawasan tersebut akan dipulihkan semula kepada fungsi asalnya iaitu sebagai tanah lapang rekreasi untuk kegunaan penduduk setempat.

“Jabatan Landskap MBPP akan membangunkan projek landskap di situ yang akan dihubungkan dengan tanah lapang berdekatan, sekali gus membantu mengelakkan pencerobohan rizab sungai serta risiko banjir,” katanya.

Mengakhiri lawatan tersebut, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau serta memudah cara semua isu dan cadangan projek yang dibangkitkan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan terus terpelihara.

 

Oleh : R. SARBEYSHWARAN
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD