Pembangunan Taman Robina Eco Park selaras Visi Penang2030

Admin

TELOK AIR TAWAR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kejayaan pembangunan Fasa 1 dan Fasa 2 Taman Robina Eco Park yang dilancarkan pada hari ini memberi gambaran jelas berhubung kejayaan projek berkaitan selaras Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Menurut beliau, Taman Robina Eco Park Fasa 2  yang dibiayai Kerajaan Negeri sebanyak RM2 juta tersebut adalah berkeluasan 3.9 ekar, dan ia merupakan kesinambungan daripada projek Fasa 1 yang dibangunkan seluas 4.5 ekar.

 

“Antara segmen serta komponen yang dinaik taraf adalah merangkumi pembinaan tempat letak kenderaan, dataran, pengecatan tandas, pentas terbuka serta kerja-kerja elektrikal.

 

“Justeru, bagi fasa seterusnya, saya mengambil maklum akan hasrat MBSP bagi meneruskan Fasa 3, dan Kerajaan Negeri akan menimbang setelah memperoleh maklumat lanjut khususnya mengenai perbelanjaan dalam menjayakan projek tersebut,” ujarnya pada Majlis Perasmian  Taman Robina Eco Park Fasa 2 dekat Pantai Robina di sini petang tadi.

 

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyempurnakan majlis pelancaran berkaitan.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan dif-dif jemputan yang lain.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Taman Robina Eco Park Fasa 1 yang diwujudkan oleh MBSP sebelum ini  telah mencapai objektif sebagai projek komuniti.

 

“Untuk Fasa 2 hari ini, Kerajaan Negeri melihat kejayaan Fasa 1 sebagai projek yang bagus untuk dijayakan dengan komponen menyediakan tapak kendara saji supaya ekonomi tempatan dapat digerakkan melalui projek ini,” ulasnya.

 

Dalam pada itu, Azhar dalam ucapannya memberitahu bahawa taman di sini dinamakan sebagai ‘eco park’ ekoran ciri-ciri hijau yang diwujudkan seperti penanaman rumput di keseluruhan tapak, kenderaan tidak lagi dibenarkan memasuki melalui taman ini, penggunaan lampu solar, penyediaan laluan basikal serta menanam pokok renek.

 

“Malah, ciri-ciri lain yang menarik adalah panorama matahari terbenam, sudut fotografi, lukisan mural pemimpin tempatan dan pantai berpasir,” jelasnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI