Pembekal bahan mentah dibenarkan masuk ke kawasan PKPD

Admin

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membenarkan pembekal bahan mentah dan keperluan asas memasuki kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa langkah itu diambil bagi mengatasi masalah kehabisan bekalan bahan mentah serta barangan keperluan harian yang dihadapi oleh penduduk di kawasan-kawasan dikenakan PKPD.

“Keputusan sebelum ini yang tidak membenarkan pembekal masuk ke kawasan PKPD telah menyebabkan penduduk sukar mendapatkan bekalan bahan mentah dan keperluan harian.

“Justeru, mesyuarat telah diadakan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan lain-lain mengenai isu ini semalam dan memutuskan bahawa pembekal akan dibenarkan masuk ke kawasan PKPD bagi membekalkan bahan mentah serta keperluan asas kepada kedai dan pasar-pasar awam di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak pembekal perlu mendapatkan surat dan pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar adalah pihak pembekal sah,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Terubong, Yeoh Soon Hin.

Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan bahawa penduduk di Flat Paya Terubong dekat Relau berdepan masalah kehabisan bekalan bahan metah selepas kawasan tersebut diumumkan dikenakan perintrah PKPD sejak 7 Disember lalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Pegawai Daerah sebagai pengerusi Pusat Kawalan Bencana Timur Laut akan bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan.

“Makluman lanjut berhubung isu ini boleh dirujuk kepada Pegawai Daerah yang menjadi pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi kawasan Timur Laut

“Dalam mesyuarat semalam, Pegawai Daerah setuju untuk membenarkan pembekalan bahan mentah dan keperluan asas di kedai-kedai di kawasan PKPD,” ulasnya.

Sebarang maklumat boleh hubungi pusat Makluman Operasi Bilik Gerakan COVID-19, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut di talian, 04-650 5382/261 6137 setiap Isnin hingga Ahad dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALVIE CHENG