Pembekal teknologi air antarabangsa pilih Pulau Pinang

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

PERAI – Xylem Incorporation, sebuah syarikat pembekal teknologi air antarabangsa memilih Pulau Pinang sebagai cawangan pejabat jualan dan pusat servis Asia syarikatnya di sini barubaru ini.

Syarikat milik Sweden itu mencatatkan hasil sebanyak USD3.8 bilion pada tahun 2011 dengan tenaga kerja 12,500 di seluruh dunia.

Menurut Pengarah Rantau Asia, Xylem Water Solutions Malaysia Sdn. Bhd. (Xylem), Allan William Hendry, cawangan itu bakal memberi manfaat produk teknologi air mereka kepada seluruh negara di Asia Tenggara, Jepun, Korea, Hong Kong, Macau, Taiwan, Bangladesh, Pakistan & Sri Langka.

Antara produk yang dihasilkan Xylem adalah pam air untuk industri, teknologi rawatan air kumbahan, sistem saliran pertanian serta sistem penapisan air.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan majlis pembukaan cawangan itu berkata, kewujudan cawangan Xylem di negeri ini menjadi testimoni kepada prestasi Pulau Pinang melalui polisi mesra perniagaan Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus berusaha menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan syarikat-syarikat multinasional di rantau ini.

Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberitahu, Kerajaan Negeri juga dalam proses mempertingkatkan infrastruktur sedia ada, bagi menyediakan bekalan air yang berkualiti dan bersih kepada seluruh rakyat di negeri ini.

“Justeru, kita sentiasa mencari rakan kongsi dengan syarikat teknologi air seperti Xylem untuk membekalkan teknologi state-of-the-art
dan cutting-edge systems bagi mencapai kos yang efisyen dan kemampanan dalam pengurusan air di Pulau Pinang, ujar Guan Eng.